Semakin takut manusia kepada hantu, semakin manusia ingin menjauh. Namun, semakin takut manusia kepada Allah, semakin mereka ingin mendekat.
Itu perbezaan takut makhluk kepada makhluk dan takut makhluk kepada penciptanya. Bahkan, boleh diertikan bahawa takut itu bukanlah perasaan takut sehingga gementar, namun takut kerana cinta.
Cinta kepada Allah merupakan cinta hakiki yang membawa ketenangan dan kebahagiaan terhadap insan yang merasanya sahaja. Bayangkan apabila seseorang bercinta, pasti hari-hari mereka akan penuh dengan bunga-bunga kasih sayang. Asam garam percintaan, hanya mereka yang tahu. Walau diluah di media sosial, namun orang lain tidak dapat merasakannya kerana hanya boleh membayangkan.
Begitulah cinta kita kepada tuhan. Hanya orang yang merasainya sahaja akan merasai nikmatnya bercinta. Dalam bercinta akan ada yang merajuk, akan ada juga yang memujuk. Jadi, bagaimana cinta dengan tuhan? Adakan wujud perasaan yang sama?
Al-Rogib Al-Ashfahani RA berkata – “Cinta adalah condongnya jiwa kepada sesuatu yang dipandang dan disangkanya sebagai sebuah kebaikan.”
Kadang Allah melemparkan ujian, menghantarkan kesedihan, membuatkan seseorang itu merasai kegagalan dan sebagainya. Mungkin itu musibah dan juga ujian sebagai penghapus dosa, namun dalam masa yang sama Allah ingin hambaNya lebih dekat kepadaNya.
Saat itulah manusia akan merasai sendiri nikmatnya bercinta apabila kebergantungan sepenuhnya dilemparkan kepada Allah.
“Betulkah Allah juga mencintai aku?” – Mungkin pertanyaan itu seringkali wujud dalam diri anda saat terlalu beratnya ujian yang melanda sehingga anda mungkin merasa beban yang dihadapi sangat berat dan sudah tidak tertanggung lagi.
Yakinlah, Allah tidak akan menghantarkan ujian kepada Allah secara suka-suka atau sengaja kerana pasti wujud sebabNya sendiri sama ada untuk menguatkan dan untuk mendekatkan diri kepada anda.
Ini ialah antara bahasa cinta Allah kepada hambaNya sebagai bukti Dia mencintai orang-orang yang mencintaiNya juga.
#1 – Allah cinta kepada orang yang mencintaiNya
Maksud: “Dari ‘Ubadah bin As-Shamit, dari Nabi SAW bersabda: “Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk bertemu dengannya, siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya.”
Lalu, ‘Aisyah berkata: “Kami memang benci untuk mati.” Nabi berkata: “Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredaan dan kemurahan tuhan. Maka, tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang ada di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya. Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang didepannya. Ia benci untuk bertemu dengan Allah dan Allah pula benci untuk bertemu dengannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1748)
#2 – Melemparkan ujian sebagai tanda cinta
Maksud: “Sesungguhnya pahala besar kerana balasan untuk ujian yang berat. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian kepada mereka. Barangsiapa yang reda, maka dia akan meraih reda Allah. Barangsiapa yang tidak suka, maka Allah pun akan murka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4031)
#3 – Allah Lemparkan Rasa Tenang Saat MengingatiNya
Mafhum: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Rad, 13:28)
#4 – Menjadi Manusia Yang Paling Bermanfaat
Maksud: “Manusia yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya atau engkau membayarkan hutangnya atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani, 6/139)
#5 – Diberikan Kesabaran
Maksud: “Tidaklah seseorang itu diberikan sesuatu yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1469)
#6 – Mengampunkan Dosa Dengan Mempercepatkan Balasan Di Dunia
Maksud: “Apabila Allah menginginkan kebaikan kepada hambaNya, Dia akan menyegerakan balasan untuknya di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan kepada hambaNya, Allah akan menahan azab banginya akibat dosa (di dunia) sehingga Allah akan membalasnya di akhirat kelak.” (Hadis Riwayat Anas bin Malik, no. 1435)
Tuntasnya, jangan pernah bersangka buruk kepada Allah apabila anda ditimpa ujian dan sentiasalah bersyukur apabila anda diberi nikmat dan kesenangan. Allah mengingati hambaNya itu bukti cintaNya kepada manusia. Jadi, bagaimana cara anda mencintai Allah?
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.