Antara perkara yang akan menjadi perbualan ramai orang apabila insan terdekat meninggal dunia adalah tanda kematian. Kita mula mencari tanda-tanda yang ditunjukkan sebelum mereka meninggal dan mengaitkannya dengan pelbagai perkara.
Ada pula yang mengatakan bahawa setiap orang Muslim akan mengalami tanda-tanda kematian bermula 100 hari sebelum tanggal kematian, kemudian dalam tempoh 40 hari seterusnya 7 hari sebelum kematian.
Dikatakan bahawa orang yang akan mati akan dapat rasa bahawa badannya bergegar, bahagian pusat berdenyut, nama yang tersimpan di Luh Mahfuz kononnya akan jatuh dan sebagainya.
Adakah ia benar-benar wujud seperti yang diperkatakan?
Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat yang ke 85, bahawa urusan roh adalah rahsia Allah. Manusia hanya mempunyai pengetahuan yang sangat sedikit sahaja tentang roh, apatah lagi dalam urusan kematian.
Malah untuk perbincangan tanda-tanda kematian dalam tempoh 100, 40 dan 7 hari, tidak ada satu pun dalil Al-Quran atau hadis yang menyentuh mengenai hal ini.
Yang ada hanyalah tanda-tanda kematian semasa saat sakaratul maut. Contohnya dalam hadis yang menyebut bahawa orang mukmin yang mati akan mengeluarkan peluh di bahagian kening.
Dari Buraidah bin Al-Hashib R.anhu, Rasulullah SAW bersabda,
مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعِرْقِ الجَبِيْن
“Kematian seorang mukmin dengan keringat di kening.” (HR. Tirmidzi, HR. Ibnu Majah, An-Nasa’i dan Ahmad – Lafaz hadis ini adalah dari An-Nasa’i dan Ahmad – Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)
Cuma ada riwayat-riwayat lain yang menceritakan tanda kematian yang baik (husnul khatimah) adalah apabila meninggal dalam keadaan sempat mengucapkan syahadah, meninggal pada hari atau malam Jumaat dan beberapa keadaan mati yang dikira syahid kecil kerana melahirkan anak, lemas dan lain-lain.
Disebutkan juga bahawa apabila roh meninggalkan badan, maka pergerakan mata akan mengikuti roh tersebut, betis kanan dan betis kiri pula akan bertaut. Itu sahaja antara tanda yang dijelaskan melalui dalil yang sahih.
Kesimpulannya, tidak ada sesiapa yang benar-benar mengetahui secara tepat apakah keadaan yang akan dilalui saat kematiannya tiba. Hakikatnya dengan mengetahui tanda-tanda kematian pula tidak akan mengubah banyak perkara kerana kita masih perlu menjalani hidup seperti biasa. Seperti yang pernah disebutkan dalam hadis, sekalipun kiamat berlaku esok hari, kita masih perlu mengusahakan sesuatu pada hari ini.
Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menghargai setiap masa yang ada. Kita perlu menganggap bahawa ruang dan masa yang ada ini adalah peluang yang masih diberikan untuk melakukan yang terbaik dalam hidup sebelum kematian tiba.

