Gaya Hidup

Pendapat Ulama Berkenaan Menghadiri Pengebumian Bukan Islam

Oleh Fizah Lee  •  11 Feb 2020  •  2 min baca

Jika anda mempunyai jiran atau saudara yang bukan Islam yang meninggal dunia, adakah dibenarkan untuk menghadiri proses pemakaman mereka? Jumhur ulama berbeza pendapat mengenai isu ini, jadi entri kali ini akan merungkai hukum di sebalik menghadiri proses pemakaman mereka.

Terdapat sebuah riwayat bahawa Baginda SAW tidak menghadiri pengebumian bapa saudaranya, Abu Talib. Baginda menyuruh Ali RA untuk menyelesaikan proses pengebumian ayahnya itu.

اذْهَبْ فَوَارِ أَبَاكَ ثُمَّ لاَ تُحْدِثَنَّ شَيْئًا حَتَّى تَأْتِيَنِي

Maksud: “Pergilah dan tanamlah ayahmu kemudian jangan kamu lakukan sesuatu sehingga kamu datang menemuiku.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3214)

Melalui riwayat ini, jumhur ulama seperti Imam Malik RA dan pendapat dari Mazhab Al-Hanbali menyebut bahawa umat Islam adalah dilarang untuk menghadiri pengebumian bukan Islam sama ada jiran mahupun saudara mara.

Menurut pendapat Al-Khatib al-Syarbini bahawa, Ali semasa hidupnya amat taat dan menyara kehidupan bapanya. Jadi, apabila Abu Talib meninggal dunia, beliau tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak.

Oleh itu, jumhur ulama berpendapat bahawa, jika bukan Islam yang meninggal itu adalah saudara maranya, maka dibolehkan untuk menghadiri. Namun, tidak boleh jika mayat tersebut tiada hubungan persaudaraan atau pertalian darah.

Walau bagaimanapun, melihat kepada ulasan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah yang mengulas melalui pandangan yang telah dikeluarkan oleh Mazhab Hanafi dan Syafi’e, ia adalah dibolehkan. Pandangan ini melihat kepada kebaikan yang perlu dilakukan sesama insan dan juga untuk menyebarkan syiar Islam itu sendiri.

Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan mengikut beberapa syarat yang telah ditetapkan, seperti menghormati perasaan keluarga si mati dengan tidak mengungkit-ungkit dosa yang telah dilakukan dan tidak terlibat dalam upacara mereka yang berkait rapat dengan kepercayaan agama mereka.

أَنَّ الْحَارِثَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ مَاتَتْ أُمُّهُ النَّصْرَانِيَّةُ، فَتَبِعَ جَنَازَتَهَا فِي رَهْطٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. قَالَ مُحَمَّدٌ: لَا نَرَى بِاتِّبَاعِهَا بَأْسًا، إِلَّا أَنَّهُ يَتَنَحَّى نَاحِيَةً عَنِ الْجَنَازَةِ، وَهُوَ قَوْلُ أَبِي حَنِيفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ

Maksud: “Sesungguhnya al-Harith bin Rabi’ah telah kematian ibunya seorang nasrani. Maka, diikuti jenazahnya sekumpulan dari sahabat Nabi. Telah berkata Muhammad al-Syaibani: “Aku tidak melihatnya (mengikuti jenazah) sebagai suatu kesalahan kecuali jika ia memberi ruang satu sudut daripada jenazah dan ia adalah pendapat Abu Hanifah RA.” (Kitab Al-Athar, 2/178)

Imam Nawawi dalam Muktasar al-Muzani dan para ulama’ Syafi’iyyah menjawab bahawa harus hukumnya untuk mengiringi jenazah kerabat yang bukan Islam sama ada mempunyai hubungan persaudaraan ataupun tidak.

Kesimpulan

Menurut kepada pendapat jumhur ulama dari Mazhab Syafi’e, harus hukumnya menghadiri pengebumian jenazah bukan Islam sama ada saudara mara atau jiran tetangga. Namun, perlu dijaga akhlak dan adab sebagai seorang muslim.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami