Ibadah

Bagaimana Jika Nazar Itu Tidak Mampu Dilaksanakan

Oleh Fizah Lee  •  10 Feb 2020  •  3 min baca

Nazar merupakan janji anda kepada Allah dan ia wajib ditunaikan. Ia boleh berlaku sama ada anda bernazar dengan mendapatkan sesuatu, menegah sesuatu daripada berlaku atau nazar yang dilakukan tanpa mengaitkan sesuatu.

Tiga jenis nazar ini dikenali sebagai:

#1 – Nazar Al-Lajaj

Seseorang itu bernazar dengan menegah dirinya daripada melakukan sesuatu. Sebagai contoh – “Jika aku mencarut hari ini, maka aku akan menyedekahkan RM10.”

#2 – Nazar Al-Mujazah

Nazar jenis ini ialah apabila ditimpa sesuatu nikmat atau perkara yang diinginkan terhadap sesuatu. Sebagai contoh – “Aku akan berpuasa tiga hari jika mendapat anugerah dekan semester ini.”

#3 – Nazar Mutlak

Nazar yang dilakukan tanpa mengaitkan sesuatu. Contohnya – “Aku bernazar untuk berpuasa hari isnin.”

Tiga jenis nazar ini perlu dilakukan mengikut rukun yang telah ditetapkan, iaitu; dilafazkan dengan lisan, orang yang bernazar dan perkara yang dinazarkan.

Wajib ke atas seseorang yang bernazar untuk melaksanakan nazar tersebut. Walau bagaimanapun, jika anda terlupa akan nazar yang diucapkan atau tidak mampu untuk melaksanakan nazar tersebut, maka wajib ke atas anda untuk membayar kaffarah.

Kaffarah ialah denda yang perlu dibayar. Ia ada disebut dalam kalam Allah yang berbunyi:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mafhum: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

Maka, bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.

Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Maidah, 5:89)

Melalui ayat ini dapat disimpulkan bahawa, denda yang perlu dibayar ialah mengikut turutan seperti berikut;

#1 – Membebaskan hamba sahaya yang Mukmin, atau jika tidak mampu;

#2 – Memberi makan sepuluh orang miskin dengan satu cupak beras setiap seorang, atau jika tidak mampu juga;

#3 – Memberi pakaian sepuluh orang miskin (sama ada baju atau seluar yang mengikut syariat). Para ulama membahaskan, adalah lebih baik untuk memberi set pakaian yang lengkap seperti sepasang baju Melayu atau Baju Kurung. Jika betul-betul tidak mampu juga, maka

#4 – Wajib ke atasnya untuk berpuasa selama tiga hari. Ia tidak wajib dilakukan secara berturut-turut.

Pembayaran kaffarah ini juga boleh dilakukan melalui pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Negeri jika sukar untuk ditunaikan.

Tuntasnya, nazar ialah hutang anda kepada Allah berdasarkan janji yang telah diucapkan oleh anda sendiri, Oleh itu, wajib ke atas anda untuk menunaikannya dan jika tidak mampu, bayarlah denda yang telah ditetapkan.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami