Jika anda terbatal wuduk ketika sedang solat berjemaah mahupun bersendirian, maka wajib ke atas anda untuk menghentikan solat tersebut dan memperbaharui wuduk bagi menunaikan kembali solat tersebut. Suci merupakan salah satu syarat untuk menunaikan solat. Jika batalnya wuduk disebabkan oleh terkena najis atau terkentut, maka ia sudah tidak dianggap suci lagi.
Antara etika keluar daripada solat jemaah jika terbatalnya wuduk anda adalah dengan menghentikan solat dan memegang hidung seraya beredar dari saf tersebut.
Ia ada disebut dalam beberapa hadis sahih antaranya Riwayat Abu Daud (no. 1114) yang menyuruh untuk keluar dari saf dengan pantas agar saf tersebut dapat diganti oleh orang lain. Ia juga merupakan anjuran agar menutup keaiban dengan sesuatu yang baik dan menyembunyikan keburukan. Hikmah ini ada dihuraikan oleh Imam Al-Munawi RA dalam kitab Faidh al-Kadir Syarh Jami’ al-Saghir:
Maksud: “Hendaklah seseorang itu memegang hidungnya dengan tangannya seolah-olah dia mengalami pendarahan di hidungnya. Kemudian hendaklah dia keluar daripada solat tersebut dan mengulangi semula taharah (bersuci) dan wuduknya serta kembali kepada solatnya. Hal ini kerana seseorang yang berhadas tersebut boleh jadi merasa malu kepada orang lain apabila dia keluar daripada saf solat disebabkan oleh hadas. Maka, dengan perbuatan tersebut akan menyebabkan dia tidak begitu merasa keberatan apabila dia keluar daripada saf solat.”
Dibolehkan untuk lalu di hadapan jemaah yang sedang solat untuk keluar daripada saf tersebut. Menurut jumhur ulama, jika anda berada di saf hadapan atau tengah-tengah, maka keluarlah melalui barisan saf anda. Ia tidak termasuk dalam perbuatan melanggar sutrah. Jika anda berada di saf yang paling belakang, maka keluarlah daripada saf tersebut dari arah belakang.
Jika terbatalnya wuduk itu ketika sedang sujud atau rukuk, maka perlu segera bangun daripada rukun tersebut untuk memperbaharui wuduk.
Jumhur ulama menyebut lagi, perlu keluar dengan bersegera namun jangan sehingga melanggar atau mengganggu jemaah lain. Keluarlah dari arah yang memudahkan anda. Sebagai contoh, jika saf anda dekat dengan pintu keluar sebelah kiri, maka keluarlah ke sebelah kiri. Ini untuk mengelakkan jemaah lain terganggu.
Saf yang kosong perlu dipenuhi. Ini untuk mengelakkan ruangnya kosong yang akan menyebabkan terputusnya saf.
Maksud: “Jadikanlah kedudukan imam berada di tengah dan tutuplah ruang-ruang kosong.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 681)
Buat mereka yang menyambungkan saf akan mendapat kelebihan dan ganjaran yang setimpal seperti disambungkan rahmat Allah kepadanya. Ia adalah salah satu ganjaran yang dihuraikan oleh Imam Nawawi melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar RA, Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Janganlah kamu biarka kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf Allah akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan dirinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 666)
Orang yang terdekat perlu menutup saf tersebut dengan gerakan yang tidak membatalkan solat sama ada ke kiri atau ke kanan (bergantung kepada kedudukan imam). Jika orang di sebelahnya itu tidak bergerak, maka yang berada di saf belakang perlu naik untuk mengisi saf tersebut.
Menurut pandangan yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, ia adalah berbalik kepada feqh (kefahaman) makmum itu sendiri. Sekiranya makmum berada di dalam saf yang sama dan menyedari tiada yang mengisi ruang tersebut, maka dia perlu memenuhkannya.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.