Sebaik-baik mahar yang diberikan kepada bakal isteri adalah yang paling mudah. Ia menunjukkan mahar yang paling baik ialah yang mudah untuk dipenuhi oleh bakal suami.
Mahar atau mas kahwin merupakan bayaran suami kepada isteri sebagai hadiah di atas pernikahan yang dilakukan dan hukumnya adalah wajib.
Ia menjadi hak isteri sepenuhnya dan bukan hak wali atau ahli keluarganya. Allah mencela para suami yang meminta kembali mahar tersebut. Menjadi tanggungjawab isteri untuk menggunakannya ke arah yang disukainya dan tidak menjadi kesalahan jika dia ingin memberikan mahar tersebut kepada suaminya (atas kerelaannya sendiri).
Menurut Imam Ibnu Kathir, beliau mengatakan bahawa hukum isteri memberikan maharnya kepada suaminya adalah harus jika ia dilakukan di atas kerelaan sendiri. Haram jika suaminya mengambil mas kahwin tersebut tanpa kerelaan isterinya.
Namun, buat bakal suami yang tidak mampu, adakah dibolehkan untuk membayar mahar kepada isteri secara beransur-ansur atau hutang?
Menurut perbahasan ulama melalui al-Fiqh al-Manhaji, mereka berpendapat bahawa boleh membayar mahar kepada isteri dengan cara hutang atau apa sahaja yang dipersetujui kedua-dua pihak.
“Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan sebelum persetubuhan. Walau bagaimanapun, penangguhannya hendaklah berdasarkan tempoh masa yang telah dipersetujui masanya. Isteri juga berhak menahan dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan suami sehingga mas kahwin tersebut langsai. Namun, jika ia bersetuju untuk ditangguhkan, maka isteri tidak berhak menahan diri daripada suami kerana ia adalah berdasarkan persetujuan masing-masing.”
Melalui perbincangan ini, dapat dilihat bahawa, mahar adalah hak isteri yang wajib ditunaikan. Walau bagaimanapun, jika suami tidak mampu dan meminta tempoh untuk pembayaran, maka ia adalah dibolehkan dengan persetujuan masing-masing sama ada bayaran secara ansuran atau tidak.
Jika si suami meninggal sebelum sempat melunaskan bayaran maharnya kepada isteri, maka isteri boleh menuntutnya daripada harta suaminya atau juga ahli keluarganya.
Namun, menurut jumhur ulama, jika penceraian atau kematian tersebut berlaku sebelum sempat mereka bersentuhan, maka si isteri berhak mendapatkan separuh daripada kadar mas kahwin tersebut.
Secara tuntasnya, kadar mas kahwin dan cara ia ditunaikan adalah bergantung kepada budi bicara dan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Mafhum: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya, (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya.” (Surah Al-Baqarah, 2:237)
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Mahar Dalam Islam
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.