Inspirasi

Apa Yang Boleh Dibuat Untuk Menebus Dosa Yang Dilakukan

Oleh Natirah Azira  •  5 Feb 2020  •  3 min baca

Rasa ingin bertaubat adalah langkah awal ke arah penyucian diri. Sungguh besar rasa syukur perlu dipanjatkan kepada Allah jika di hati kita sudah ada rasa penyesalan dari dosa yang dilakukan. Ini kerana Rasulullah SAW mengatakan,

“Semua anak Adam adalah seorang pendosa, namun mereka yang paling baik di antara orang yang melakukan kesalahan dan dosa adalah orang yang bertaubat.”

Dan bagi orang yang bertaubat pula, Allah pasti akan mengampunkan dosa-dosanya.

Ini bukan kata-kata kosong, ia adalah ucapan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada umatnya. Bermakna, bagi seorang yang melakukan dosa itu sudah ada jaminan untuk diampunkan kesalahan mereka dengan syarat mereka meminta ampun.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

“Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran 3:89)

Jelas perkara yang disebutkan oleh Allah dalam ayat di atas, bahawa taubat mestilah diiringi dengan perubahan. Seorang yang mengatakan dirinya bertaubat mestilah memperbaiki keburukan diri – mengubah diri sendiri ke arah lebih baik. Taubat tidak cukup sekadar menyesal.

Jika keadaan yang mempengaruhinya untuk melakukan dosa, maka dia mestilah keluar daripada keadaan tersebut.

Mungkin ada yang bertanya, apakah amalan-amalan tertentu yang boleh dilakukan selain solat dan berdoa memohon ampun kepada Allah. Baiklah, antara amalan yang boleh dilakukan untuk menyucikan diri dan menebus dosa adalah:

#1- Memperbanyakkan Istighfar

Tidak ada dosa yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan dosa menyekutukan Allah ataupun syirik. Istighfar bukan sahaja dapat menghilangkan titik hitam di hati, malah orang yang mengamalkannya secara konsisten akan mendapat kemudahan dalam urusan kehidupan seharian.

Ucaplah “Astagfirullahal adzim”

(Aku meminta ampun kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya)

#2- Tunaikan Solat 5 Waktu Secara Istiqamah

Solat itu menyucikan. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, solat diibaratkan seperti air sungai yang mengalir yang dapat membersihkan segala kekotoran.

“Adakah kalian melihat kalaulah di hadapan pintu salah seorang dari kalian ada sungai yang mana dia mandi di dalamnya pada setiap hari 5 kali. Apa pandangan kamu. Adakah berbaki kekotoran. Para sahabat menjawab: Tidak berbaki kekotoran padanya. Begitulah umpama bagi solat 5 waktu, Allah SWT menghapuskan dosa dengannya.” (Riwayat Al-Bukhari (528) & Muslim (1555)

#3- Memperbanyakkan Sedekah

Berilah sedekah walaupun sedikit – pada peminta sedekah yang kita jumpai di jalanan, pada anak-anak kecil yang kita temui atau boleh juga menyumbang di tabung masjid. Sesungguhnya amalan sedekah boleh menarik rahmat Allah, kemudian menjadi penghapus dosa yang telah dilakukan.

“Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemarahan Tuhan dan menghalang dari mendapat kematian yang buruk” (Riwayat Al-Tirmidzi (664) – Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan gharib)

#4- Amalkan Qiyamullail (Solat malam)

Setiap hari Allah mendepangkan tangan buat hamba-hambaNya – bertanya dan menyeru agar hamba-hambanya meminta apa sahaja yang diingini. Diceritakan juga dalam sebuah hadis sahih bahawa Allah ‘turun’ ke langit dunia pada sepertiga malam untuk mengabulkan doa hamba-hambaNya yang meminta.

Inilah waktu yang paling tenang dan sesuai untuk berdoa memohon keampunan kepada Allah Azza wa jalla.

“Aku lah Raja. Aku lah Raja. Sesiapa yang memohon kepadaKu maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepadaKu maka Aku akan beri. Siapa yang memohon keampunan daripadaKu maka Aku akan mengampunkannya. Ia akan berterusan sehinggalah fajar menyinsing.” (Hadis Qudsi)

#5- Sentiasa Menghadiri Majlis Ilmu

Majlis ilmu diibaratkan satu diantara taman-taman syurga. Ia dipenuhi keberkatan kerana turut dihadiri oleh malaikat yang memohon kerahmatan buat mereka yang berkumpul mengingati Allah. Selain itu, dengan menghadiri majlis ilmu, kita juga akan mudah berjumpa dengan orang-orang yang boleh memberi pedoman dan nasihat berkaitan kehidupan.

Kesimpulan

Kuatkanlah tekad untuk berubah. Apa yang penting, kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah kerana Allah juga tidak pernah berputus asa daripada menerima taubat hamba-hambaNya. Pohonlah kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan untuk konsisten melakukan taubat dan juga melakukan amalan-amalan kebaikan yang lain.

Rujukan:

Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami