Kelajuan kudrat manusia berlari tidak sama dengan kelajuan kereta api di landasan. Usahlah dikejar apabila terlepas kereta api. Sia-sia sahaja, biarkan mata memandang dengan hati yang reda dan tenang.
Kerana apa? Kerana manusia tidak boleh mengawal semua benda. Perkara yang tidak boleh dikawal serahkan sahaja pada Ilahi. Berdoa dan tawakal adalah pilihan yang tepat, insyaAllah akan ditemuinya hikmah disebalik apa yang berlaku.
Begitu juga perasaan left behind apabila sudah meningkat umur. Bagi saya ia perasaan yang normal bagi manusia. Sebab perasaan ini tidak boleh dielak mahupun dibuang. Apa yang boleh dilakukan adalah menjadi lebih kuat untuk mengawal diri sendiri.
Sewaktu umur baru lima tahun fikir saya lebih mudah. Makna kejayaan tidak seberat sekarang.
Apabila menatal skrin telefon dan melihat orang-orang di sekeliling sudah mencapai pelbagai kejayaan, saya berbisik kepada hati sendiri bahawa setiap orang ada jalan hidupnya sendiri. Hari ini harinya, dan esok atau lusa hari kita.
Tidak semua kejayaan milik mereka elok untuk kita. Contoh norma terasa left behind sekarang adalah perkahwinan. Namun adakah kita sudah bersedia? Atau sekadar mengikut jejak langkah kawan-kawan yang lain?
Dulu teman saya berkali-kali menggesa saya berkahwin sepertinya. Selang beberapa tahun, beliau menasihati saya supaya berkahwin bukannya kerana mengikut orang.
Alhamdulillah, meskipun belum lagi tiba giliran saya, serba sedikit pengalaman-pengalaman yang beliau hadapi dapat memberi jalan pintas untuk saya memahami asam rumahtangga.
Menarik pepatah Inggeris ini – sometimes we win, sometimes we learn. Ada waktu kita berkongsi ilmu dan ada waktu kita harus menadah ilmu untuk kemudian hari. Left behind bukan bermakna kita tertinggal di belakang ataupun menggambarkan sesuatu yang bersifat negatif, bahkan sebagai seorang muslim, ada hikmah daripada Ilahi setelah kita bertawakal.
Aku mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku akan sentiasa bersamanya jika dia mengingatiKu. Jika dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diriKu.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Natijah penulisan ini untuk diri saya juga. InsyaAllah bersama-sama kita berada dibawah naungan Allah. Saya doakan agar urusan harian kita semua dipermudahkan.
“Berdoalah kepada Allah dalam kalian berasa yakin ianya akan dimakbulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan memakbulkan doa daripada hati yang lalai.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.