Site icon Tazkirah

Doa Untuk Berlindung Daripada Rasa Malas

Sudah beberapa minggu musim persekolahan bermula, begitu juga dengan beberapa penjawat awam yang sudah mula bekerja. Buat anda yang mempunyai masalah dengan anak-anak yang malas untuk ke sekolah, pastinya ia menjadi kebimbangan terutamanya jika sehingga ia mempengaruhi kedatangan mereka ke sekolah.

Jika diimbas, anda juga mungkin pernah menghadapi situasi malas untuk ke sekolah kerana lebih mementingkan tidur atau tidak gemar dengan situasi persekolahan.

Sebenarnya, malas bukan sahaja wujud dalam sifat dan perangai kanak-kanak, malah dalam diri setiap orang. Malas untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, malas untuk bangkit dari tempat tidur, malas untuk mengemas rumah dan banyak lagi perangai malas yang mungkin wujud dalam diri anda.

Ia merupakan sikap yang ada dalam diri setiap orang. Jadi, jangan risau jika anda mempunyai sikap tersebut kerana bukan anda seorang sahaja yang mengalaminya.

Namun, anda mungkin perlu risau jika sikap malas itu berterusan sehingga mengganggu fungsi harian anda seperti didenda guru akibat tidak menyiapkan kerja sekolah, ditimpa penyakit kerana tidak menjaga kebersihan dan sebagainya.

Ia boleh membawa kerugian kepada diri anda sendiri. Manusia melakukan pelbagai urusan di dunia – bekerja, belajar, mencari rezeki. Dan setiap urusan tersebut perlu dilakukan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Orang yang hanya berdiam diri digelar sebagai mutawaakil, iaitu orang yang berpura-pura bertawakal dan inilah maksud malas yang sebenar.

Islam juga melarang umatnya untuk bermalasan kerana ia sifat orang-orang yang rugi, sebaliknya Islam menuntut agar umatnya untuk berusaha semampu yang boleh.

Untuk menghilangkan atau mengawal rasa kemalasan ini, berdoalah dengan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita, iaitu doa untuk berlindung daripada rasa malas.

Doa ini juga ada diukir dalam Al-Ma’thurat yang boleh dibaca pada setiap pagi dan petang:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْبُخْل

Maksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari rasa malas dan aku berlindung kepadaMu dari sikap pengecut, dan aku berlindung kepadamu dari sikap penakut dan kedekut dan lingkungan hutang.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6371)

Wallahu a’alam.

Exit mobile version