Gaya Hidup

Melihat Hikmah Ujian Melalui Bencana Alam

Oleh Fizah Lee  •  10 Jan 2020  •  3 min baca

Bumi semakin tua. Sejak kecil kita dimomokkan dengan kata-kata ini bagi menggambarkan keadaan bumi yang sudah penat menanggung beban dan akibat daripada perlakuan penghuninya.

Banyak sejarah yang telah memperlihatkan kepada kita mengenai kesan perbuatan rakus manusia kepada bumi sama ada disebabkan oleh gempa bumi, banjir dan bah besar, kebakaran hutan, banjir kilat dan banyak lagi.

Terkini, bumi sekali lagi dikejutkan dengan berita tergempar berkenaan kebakaran yang paling besar pernah berlaku, iaitu di Australia dengan suhu yang telah melebihi 40 darjah celsius dan mengakibatkan jutaan habitat mati serta kemusnahan harta benda yang amat dasyat.

Belum reda dengan keadaan itu, Jakarta pula dilanda dengan banjir yang amat teruk sehingga mengakibatkan berlakunya banyak kemusnahan dan juga kemalangan jiwa.

Banyak lagi sebenarnya bencana alam yang berlaku dan tidak cukup untuk disenaraikan di sini. Tidak perlu melihat jauh, cukup membaca berita-berita di sekeliling kita juga mampu memberikan keinsafan buat diri sendiri.

Jika diajukan soalan kepada anda – Mengapa sebenarnya bencana ini terjadi? Apa yang akan anda jawab? Adakah dengan jawapan ia sekadar hukum alam atau kerana ujian yang diturunkan Allah kepada hambaNya?

Rata-rata akan menjawab bahawa ia merupakan musibah atau hukuman kepada manusia dan peringatan kepada seluruh penduduk bumi. Musibah yang merupakan antonim kepada nikmat atau kesenangan merupakan suatu perkara yang sangat ditakuti manusia.

Ada yang Allah selamatkan daripada bencana tersebut untuk memberikan pengajaran dan peluang kedua dalam hidupnya agar lebih merenung nilai masa yang diganjarkan Allah.

Walau bagaimanapun, sebenarnya setiap bencana dan ujian yang Allah turunkan kepada manusia tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai peringatan kepada manusia untuk lebih memperingati Allah.

Malah, sebenarnya banyak hikmah yang boleh dipelajari daripada bencana ini sama ada dengan sabar dan tabah dalam menghadapinya, penduduk bumi lebih bersatu dan sebagainya. Antara pelajaran lain yang boleh dipelajari ialah:

#1 – Muhasabah Diri

Cuba lihat setiap kejadian yang berlaku ini. Manusia tidak punya kuasa untuk menghalangnya. Allah yang menghantarkan bencana sama ada melalui amaran yang boleh dikesan mahupun tidak.

Manusia hanya boleh mengawal dan mengendalikan perkara tersebut dengan usaha untuk menyelesaikannya sekali gus mengelakkannya daripada terjadi lagi.

Melalui hal ini kita dapat sedar bahawa manusia itu hanyalah hamba yang lemah. Walau setinggi mana anda berada, namun ada yang lebih tinggi daripada anda, iaitu Allah yang Maha Kuasa. Oleh itu, muhasabahlah dengan meletakkan diri anda sebagai seorang hamba yang perlu meletakkan pergantungan hanya kepada Allah.

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا

Maksud: “Hisablah dirimu sebelum engkau dihisab.” (Saidina Umar Khattab)

#2 – Bersyukur

Bersyukur kerana Allah masih mengingati hambaNya dengan menghantarkan bencana bagi menaikkan darjat mereka dan menghapuskan dosa-dosa. Allah uji tanda Dia sayang dan masih ingat akan hambaNya.

Bayangkan jika Allah langsung tidak mempedulikan seseorang, tiada dugaan dan tiada juga nikmat, yang diperoleh adalah ujian di atas setiap kesenangan yang ada.

Bahkan, setiap apa yang Allah hantarkan kepada manusia adalah untuk menghapuskan dosa-dosa manusia jika mereka menerimanya dengan hati yang positif.

عن عائِشَةَ قالتْ قالَ رسولُ الله ﷺ لا يُصِيبُ المُؤمِنَ شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إلاّ رَفَعَهُ الله بِهَا دَرَجَةً وَحَطّ عَنْهُ بها خَطِيئَةً

Maksud: “Dari ‘Aisyah, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang mukim yang terkena duri atau yang lebih menyakitkan darinya kecuali Allah mengangkatnya satu darjat dan menghapus darinya satu kesalahan.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, no. 965)

Kesimpulan

Lihat setiap perkara yang terjadi melalui mata hati anda. Terima ia dengan hati yang positif tetapi dalam masa yang sama berusaha untuk memperbaiki kesalahan diri dan membantu mereka yang memerlukan berdasarkan kemampuan anda.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami