Gaya Hidup

Bolehkah Menerima Sumbangan Atau Bayaran Daripada Sumber Haram

Oleh Natirah Azira  •  7 Jan 2020  •  3 min baca

Menurut ilmuwan, antara perkara yang perlu terlebih dahulu dipastikan dalam sebarang transaksi kewangan, perniagaan dan seumpamanya ialah – atas sebab apa sesebuah transaksi itu dibuat.

Jika asasnya adalah transaksi yang halal dan dibenarkan maka ia menjadi halal, begitu juga jika transaksi tersebut kerana suatu yang haram maka ia menjadi haram.

Contohnya jika sesebuah transaksi duit dilakukan kerana perjudian, atau rasuah maka sudah pasti ia adalah haram. Jika seseorang menerima bayaran hutang daripada peminjam yang memperoleh duit melalui sumber yang tidak halal – maka transaksi tersebut (bagi penerima) masih sah dan dia dibolehkan menerimanya.

Hal ini disebabkan transaksi tersebut atas dasar bayar hutang. Yang bersalah adalah pembayar hutang dan penerima tidak bertanggungjawab serta tidak menanggung dosa orang yang memberikan duit kepadanya.

“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)…” (Surah Al-An’am 6:164)

Sumbangan Yang Diterima Daripada Sumber Haram

Bagaimana pula dalam urusan sumbangan yang diterima daripada sumber yang haram, contohnya daripada bank atau syarikat yang diketahui ada menjalankan pelaburan yang tidak halal.

Sumbangan yang diberikan masih boleh diterima berdasarkan alasan yang telah dinyatakan di atas. Transaksi tersebut berlaku atas sebab pemberian sumbangan atau sedekah.

Kisah Nabi SAW Menerima Hadiah Daripada Wanita Yahudi

Nabi SAW juga pernah melakukan urusan perniagaan dengan golongan Yahudi yang diketahui suka memakan riba. Dalam situasi lain, Nabi SAW pernah menerima hadiah berupa kambing daripada seorang wanita Yahudi di Khaibar.

Kisah Nabi SAW Menerima Hadiah Yang Asalnya Sedekah

Situasi lain yang dialami oleh Rasulullah SAW ialah berkenaan sedekah. Hukum yang telah dtetapkan oleh Allah kepada baginda adalah tidak boleh menerima sebarang sedekah.

Diceritakan pada suatu hari, Barirah iaitu bekas hamba Saidatina ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Kemudian daging tersebut dihidangkan (diberikan sebagai hadiah) kepada Rasulullah SAW.

Apabila diberitahu tentang perihal daging tersebut, baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bermakna hukumnya telah berubah. Ia bergantung kepada sebab transaksi/pemberian tersebut dilakukan.

Kehidupan di Malaysia yang berbilang kaum dan budaya juga memungkinkan transaksi perniagaan sebegini terjadi, contohnya antara peniaga Islam dan peniaga bukan Islam.

Misalnya jika ada seorang taukeh arak datang ke kedai seorang Islam atau melakukan urusan perniagaan dengannya, maka halal bagi orang Islam tersebut menerima wang yang dibayar. Ini kerana wang tersebut diterima atas dasar jual beli yang halal, bukan judi, bukan riba atau arak. Maka sebagai penerima wang seseorang masih halal menerima wang tersebut.

Kesimpulannya, jika asasnya adalah transaksi yang halal dan dibenarkan maka ia menjadi halal, begitu juga jika transaksi tersebut kerana suatu yang haram maka ia menjadi haram. Wallahua’alam.

Rujukan:

1. Soal Jawab
2. Rumaysho.com
3. Addeen.my


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami