Ibadah

Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Penjenayah Waktu

Oleh Fizah Lee  •  3 Jan 2020  •  3 min baca

Waktu itu merupakan usia, sebuah usia semenjak kelahiran anda sehinggalah nyawa anda ditarik dan jasad serta roh anda dipulangkan kepada Allah.

Sama seperti jasad anda yang merupakan pinjaman daripada Allah, waktu juga merupakan pinjaman oleh Allah. Bagaimana anda menggunakannya sama ada ke arah kebaikan dan perkara yang bermanfaat atau sebaliknya.

Ia semua akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Ada yang mengungkapkan waktu seperti emas yang sangat bernilai dan sukar untuk dijual beli.

Namun, ia hanyalah material yang hakikatnya mempunyai nilai dan harga yang tersendiri, sedangkan waktu tidak boleh dijual beli apatah lagi diganti jika anda berhutang waktu dengan orang lain.

Imam Syaikh Hasan Al-Banna menyebutkan waktu sebagai sebuah kehidupan. Hidup yang sangat bernilai dan jangka hayatnya hanya sekali.

Disebabkan itu, manusia perlu menghargai nikmat kehidupan dan jangan pernah menjadi ‘penjenayah waktu’.

Siapa Penjenayah Waktu

Kita sering dengar istilah yang digunakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan seperti orang yang merompak akan digelar dengan gelaran perompak bank atau peragut, orang yang mengingkari arahan ibu bapa sebagai gelaran anak derhaka dan sebagainya.

Namun, bagaimana pula dengan istilah penjenayah waktu? Apa kesalahan yang dilakukan terhadap waktu sehingga digelar sedemikian?

Menurut ulama terkenal, iaitu Dr Yusuf Al-Qaradhawiy menyebutkan bahawa, orang yang melakukan kesalahan terhadap waktu ialah orang yang mensia-siakan waktu dengan perkara yang tidak berfaedah sedangkan telah sampai kepada mereka suruhan dan ajaran yang benar.

Orang yang pada waktu siangnya sering mensia-siakan dengan perbuatan buruk seperti mengumpat saudaranya sendiri, berat tulang dengan tidak melakukan kerja atau tidak menyempurnakan kerja dengan bersungguh-sungguh atau mereka yang mengisi malamnya dengan perkara yang dimurkai Allah dan meninggalkan suruhan Allah.

Itulah yang dimaksudkan dengan penjenayah waktu sedangkan Allah telah bersumpah di atas masa yang sangat penting dan perlu dihargai. Manusia itu akan sentiasa berada di dalam kerugian kecuali mereka yang sentiasa taat dan patuh akan suruhanNya.

Mafhum: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”(Surah Al-Asr, 103: 1-3)

Kesimpulan

Manusia itu akan sentiasa tertipu dengan godaan dunia dan waktu yang dirasakan panjang dan sentiasa ada untuknya sedangkan Allah telah berpesan bahawa ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara.

Perihal waktu muda sebelum tua, waktu sihat sebelum sakit, waktu lapang sebelum sempit, waktu kaya sebelum miskin dan waktu hidup sebelum mati. (kitab Hilyatul Auliya’ dari Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2:387-388)

Oleh itu, sentiasa ingat mengenai nikmat kehidupan yang Allah berikan kepada manusia dengan melakukan perkara-perkara yang boleh menjadi bekalan dan bantuan kepada kita di akhirat kelak.

Beribadahlah seperti anda akan meninggal esok hari dan bekerjalah seperti anda akan hidup seratus tahun lagi.

Sumber:
Buku Masjid Parlimen Umat oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawiy


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami