Oleh Natirah Azira • 6 Jan 2020 • 2 min baca
Cukup mudah untuk merasa syukur apabila kita mendapat suatu nikmat dan perkara yang diingini.
Bibir tersenyum, perasaan terasa ringan dan jiwa lapang.
Namun, sayangnya kita hanya biasa bersyukur apabila kehidupan terasa mudah dan tidak banyak masalah. Sedangkan syukur juga harus ada saat diuji.
Teringat saya pada sebuah pesanan dari ceramah yang didengari, kata beliau – Suatu hadiah selalu datang dalam bungkusan yang dibalut rapi. Jika ia hadiah yang mudah pecah, biasanya dibalut dahulu dengan ‘bubble wrap’, kemudian dibalut pula berkali-kali, dilekatkan pula pita pelekat. Pada kotak akan ada simbol ‘barang mudah pecah’. Proses membuka hadiah jadi sedikit sukar.
Memang kita hanya mahukan hadiah tersebut, namun tidak dapat tidak, kita perlu membuka semua balutan terlebih dahulu.
Ia sama seperti nikmat. Ia biasa datang dengan kesusahan dan kesukaran sebagai ‘pembalutnya’.
Jika seorang penghantar pesanan datang membawa hadiah sekalipun, kita pasti tidak akan bersikap kurang ajar dengan berkata, “Aku hanya mahukan hadiahnya sahaja! Aku tidak mahu pembalutnya!”
Maka setiap kali datang cabaran dan ujian daripada Allah, pujuklah hati dengan berkata ia hanya pembalut yang perlu dibuka untuk kita mendapat nikmat yang sebenarnya. Bersangka baik dengan Allah, bahawa Allah sedang merancang sesuatu yang baik untuk kita.
Dalam masa yang sama kita telah menjemput ‘sabar’, dan usah lupa bahawa Allah tidak pernah meninggalkan orang-orang yang banyak bersabar, bahkan Allah menambahkan lebih banyak nikmat daripada yang sebelumnya.
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Surah Ibrahim 14:7)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.