Agama Islam datang dengan aturan untuk menguruskan kehidupan manusia dengan lebih baik. Aturan ini boleh jadi dalam bentuk perintah, larangan, saranan, tegahan dan sebagainya. Selain itu, ada pula rukhsah iaitu keringanan yang disediakan untuk membantu umat Islam memenuhi perintah tersebut.
Keringanan ini boleh diumpamakan seperti ‘talian hayat’ atau ‘diskaun’ yang boleh digunakan pada waktu-waktu tertentu.
Contohnya bagi puasa Ramadan yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam yang baligh dan berakal, ada pula keringanan yang diberikan bagi ibu mengandung yang bimbangkan keselamatan kandungan iaitu tidak berpuasa pada waktu itu. Kemudian dia perlu menggantikan puasa semula dan membayar fidyah.
Manakala rukhsah yang paling biasa dilakukan adalah rukhsah dalam menunaikan solat, iaitu dengan melakukan solat secara jamak atau qasar atau kedua-duanya sewaktu bermusafir.
Dalam perkongsian yang lalu, Tzkrh telah menerangkan satu contoh situasi bagi mereka yang pulang ke kampung – adakah masih boleh dilakukan solat jamak dan qasar atau tidak. Manakala dalam artikel kali ini Tzkrh ingin berkongsi pula satu situasi lain iaitu solat jamak dan qasar ketika melancong.
Sebelum meneruskan dengan lebih lanjut, perlu diketahui terlebih dahulu syarat asas bagi membolehkan solat jamak dan qasar dilakukan di sesuatu tempat yang dituju:
1. Tidak berniat tinggal di tempat yang ingin dituju melebihi tiga hari (tidak termasuk hari pergi dan balik). Jika sudah berniat untuk tinggal di tempat tersebut selama 6 hari contohnya, anda sudah tidak boleh menunaikan solat secara jamak dan qasar sebaik sahaja tiba di sana. Solat perlu dilakukan secara sempurna.
2. Jarak perjalanan ke tempat yang dituju perlu melebihi dua marhalah (iaitu dianggarkan 82 kilometer).
3. Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah.
4. Solat yang boleh dijamakkan adalah solat (Zohor dan Asar) serta (Maghrib dan Isyak).
5. Manakalah solat yang boleh diqasarkan (dipendekkan) pula adalah solat yang empat rakaat.
6. Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
7. Bermusafir untuk tujuan yang baik seperti untuk urusan perniagaan, ziarah, dan bukan untuk tujuan maksiat.
Manakala musafir bagi tujuan melancong dan berhibur pula dipandang sedikit berbeza oleh keempat-empat mazhab.
Bagi Mazhab Hanafi dan Syafie, musafir atas tujuan melancong atau berhibur adalah diharuskan. Ini kerana, ia adalah suatu perbuatan mengubati diri dari perasaan negatif. Ia dapat menghilangkan kebosanan jiwa dan meningkatkan semangat.
Bagi Mazhab Maliki, hukum untuk menqasarkan solat sewaktu melancong adalah tidak disunatkan bahkan makruh.
Manakala, bagi Mazhab Hanbali, terdapat dua pandangan dalam hal ini. Pandangan pertama yang diriwayatkan daripada Imam al-Khiraqi mengharuskannya manakala pandangan kedua yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal tidak mengharuskannya, atas alasan melancong bukan urusan yang diiktiraf oleh syara’.
Kesimpulannya, daripada keterangan di atas, dapat dilihat bahawa pendapat majoriti ulama adalah daripada Mazhab Hanafi, Syafie dan juga pendapat Ibnu Qudamah daripada Mazhab Hanbali yang mengharuskan solat qasar bagi mereka yang musafir dengan tujuan melancong atau berhibur.
Pendapat ini juga turut dipilih oleh Pihak Mufti Wilayah Persekutuan dan dilihat lebih meraikan keperluan semasa.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

