Untuk berubah, anda tidak perlu menunggu tahun baru atau sempena hari kelahiran anda atau mungkin juga disebabkan kejadian pahit yang terjadi di dalam hidup anda seperti kematian ibu dan bapa anda.
Anda boleh berubah bila-bila masa sahaja anda mahu kerana syarat untuk berubah bukan masa yang menentukan tetapi diri anda sendiri.
Apabila sudah terdetik di hati anda untuk mula menjaga solat, mula menutup aurat mengikut syariat yang ditetapkan atau mula menghormati ibu bapa anda, jangan ditunggu masa yang sesuai kerana apabila terdetik sahaja keinginan untuk berubah itulah waktu yang sesuai.
Benar, perubahan itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan banyak usaha dan daripada diri sendiri dan juga sokongan daripada sekeliling.
Yang paling penting ialah proses untuk berubah itu sendiri dan mengekalkan setiap langkah perubahan yang diambil itu.
Oleh itu, entri kali ini akan mengongsikan beberapa tips bagaimana untuk berubah dan kekal di atas jalan perubahan itu.
#1 – Lakukan Secara Perlahan
Perubahan itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan bukan secara drastik. Hal ini bimbang kerana anda akan mudah merasa penat dan cenderung untuk kembali ke jalan yang dulu.
Sebagai contoh, jika anda seorang yang tidak pernah solat tetapi ingin menunaikan solat, jangan terus mendadak sehingga melakukan qiamullail.
Baiki solat tersebut secara perlahan. Mulakan dengann melatih diri untuk tidak meninggalkan solat. Kemudian, ajar diri untuk solat di awal waktu. Apabila solat wajib sudah lengkap, cuba untuk tambah dengan solat sunat seperti sunat rawatib dan seterusnya.
Biar perlahan dan sedikit asalkan istiqamah.
#2 – Bergaul Dengan Orang Yang Baik
Pergaulan juga boleh mempengaruhi perubahan anda. Ada orang yang berubah ke arah kebaikan disebabkan kawan, ada juga yang terpesong jalannya, juga disebabkan kawan.
Ini tidak bermaksud kawan itu mampu mempengaruhi segalanya kerana ia adalah bergantung kepada iman anda sendiri. Walau bagaimanapun, sebagai permulaan, mulalah berkawan dengan orang-orang yang boleh membantu anda ke arah jalan yang benar.
Sekurang-kurangnya, kawan anda itu boleh membantu menasihati anda saat terleka atau hampir berputus asa dalam perjalanan perubahan itu.
#3 – Berdoa Dan Meminta Kepada Allah
Yang paling penting ialah doa dan pengharapan kepada Allah. Untuk berdoa ini tidak perlu tunggu ketika solat, namun ia boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana sahaja.
Oleh itu, sentiasa berdoa supaya Allah menetapkan hati anda kepada jalanNya dan membantu mempermudahkan jalan perubahan itu.
Kesimpulan
Tuntasnya, perubahan itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan istiqamah. Ia bukanlah sebuah perjalanan yang mudah, tetapi dalam masa yang sama ia juga tidak sukar dilakukan jika punya kesungguhan yang jitu.
Wallahu a’alam.

