Bilakah agaknya kali terakhir kita meluangkan masa dengan Allah? Berkongsi cerita dan rasa. Adakah setelah solat kita benar-benar merasai terikatan dan hubungan yang rapat dengan pencipta kita? Atau sekadar solat dan berdoa memenuhi aktiviti rutin harian.
Maha Suci Allah yang sentiasa Maha Mulia dan tidak memerlukan kita. Namun kita adalah yang sebaliknya. Waktu yang ada, jika tidak diluangkan untuk membina jambatan hati, membina kekuatan hubungan dengan Allah, maka rugilah kita.
Kehidupan ini yang sememangnya penuh ranjau, liku, duri dan hal-hal yang tidak dapat disangka, kadang-kala boleh melemahkan kita. Mengheret kita ke dalam kekecewaan dan kegagalan. Justeru, kepada siapa lagi yang boleh diletakkan harapan dan rasa percaya? Tidak lain tidak bukan, Allah sahajalah sumber kekuatan.
Ingatlah, bahawa hidup ini bukan diciptakan sia-sia dan tidak bertujuan. Bagi umat Islam, hidup adalah ibadah. Apabila diniatkan sebagai ibadah, jadi disinilah tempat kita untuk mengumpul saham pahala, dijadikan bekal di sana nanti. Setiap satu kebaikan akan diberikan ganjaran dan setiap satu dosa yang dilakukan, akan dinilai jua kelak.
Ada Allah Dalam Setiap Langkah
Tidak perlu menunggu hal-hal yang besar untuk kita libatkan Allah dalam urusan kita. Teringat saya akan hadis ini.
لِيَسْأَلْ أَحَدُكُمْ رَبَّهُ حَاجَتَهُ حَتَّى يَسْأَلَهُ الْمِلْحَ وَحَتَّى يَسْأَلَهُ شِسْعَ نَعْلِهِ إِذَا انْقَطَعَ
“Hendaklah salah seorang dari kalian sentiasa meminta keperluannya kepada Tuhan, sampai pun ketika meminta garam, sampai pun meminta tali sandalnya ketika putus.” (HR. at-Tirmidzi)
Jika benar hidup menurutmu itu adalah ibadah, maka tiada alasan untuk dipinggirkan Allah dalam setiap urusan meski urusan yang dianggap kecil dan mudah.
Adapun hal yang remeh seperti merasa ketidakcukupan atau terlupa akan sesuatu. Apatah lagi apabila menyentuh hal-hal yang besar dan penting dalam kehidupan. Seputar hal yang melibatkan hidup mati, atau saat ingin membuat apa pun keputusan. Jangan pernah disisihkan Allah Yang Maha Mengatur takdir.
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah Ta’ala berfirman:
يا عبادي ! كلكم جائعٌ إلا من أطعمتُه . فاستطعموني أُطعمكم . يا عبادي ! كلكم عارٍ إلا من كسوتُه . فاستكسوني أكْسُكُم
“Wahai hambaKu, kalian semua kelaparan, kecuali orang yang aku berikan makan. Maka mintalah makan kepadaku, nescaya aku akan berikan. Wahai hambaKu, kalian semua tidak berpakaian, kecuali yang aku berikan pakaian, Maka mintalah pakaian kepadaKu, niscaya akan aku berikan” (HR. Muslim, no. 2577)
Sekecil perkara seperti pakaian, makanan, dan kasut yang terputus, Allah meminta kita bermohon padaNya. Tidakkah kita sebagai hamba yang tidak punya apa-apa ini berasa terharu jika Allah Maha Agung sudi mendengar cerita orang bawahan seperti kita? Maha Besar Allah yang Maha Penyayang.
Berkomunikasi dengan Allah, itu akan memenang dan menenangkan jiwa. Setiap hela nafas, setiap lintasan fikiran, hadirkan Allah bersama. Potongan ayat Al-Quran ada menyebutkan, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.
Namun kalau disaat kita sedih, kecewa, hampa, berdukacita, kita mampu untuk mengingati Allah, seharusnya begitu juga kita melibatkan Allah saat dipeluk dengan rasa bahagia. Setiap hal yang terasa tidak cukup, Allah jualah yang mencukupkan. Setiap hal yang dirasakan buntu, Allah jualah yang memberi petunjuk.
Hadirkan Allah dalam seluruh urusanmu. Libatkan Allah dalam setiap hela nafasmu. Moga semuanya teratur dengan perancangan Yang Maha Merencana.

