Oleh Fizah Lee • 20 Dec 2019 • 4 min baca
Jika anda merupakan insan yang sedang dilamun cinta, bagaimana dialog yang akan anda ujarkan terhadap pasangan anda? Pastinya panjang berjela-jela seolah-olah anda ingin menceritakan semua isi hati kepada si dia bukan?
Apabila ditanya – “Sudah makan atau belum?”
Pasti anda akan menjawab sudah dengan maklumat yang lengkap seperti makan di mana, dengan siapa, menu apa dan rasanya yang memuaskan selera anda mahupun tidak.
Berbeza dengan rakan biasa atau mungkin apabila jiran anda bertanya – “Sedang jemur baju ke cik Timah?” Sedangkan sudah jelas di hadapan mata bahawa anda sedang menjemur baju.
Bagi sesetengah orang yang merasakan soalan yang diajukan itu adalah tidak perlu kerana perbuatan yang sudah jelas di depan mata, pasti anda akan menjawab dengan jawapan yang paling menjengkelkan seperti:
“Eh, taklah cik Lia. Tengah basuh kereta ni.”
Jawapan tersebut pula diujarkan sambil tersenyum kambing dan mengharapkan agar jiran anda tidak membalas apa-apa lagi serta membiarkan anda menghabiskan jemuran dalam keadaan tenang.
Nah, inilah sikap manusia sekarang yang kurang gemar berkomunikasi secara bersemuka, namun apabila dilihat di ruangan-ruangan komen sama ada di Instagram, Facebook mahupun di kumpulan perbualan WhatsApp, pasti penuh dengan notifikasi.
Ia membuktikan bahawa seiring dengan perubahan zaman, tugas perbicaraan itu telah diambil alih oleh jari-jari berbanding mulut.
Berbeza dengan orang-orang tua kita pada suatu masa dulu, lebih suka menghabiskan masa di kedai kopi atau di warung-warung untuk bersembang, mengambil peluang untuk menegur jiran yang sedang membasuh kereta dan sebagainya.
Dalam adat melayu, selagi perbualan itu tidak melebih-lebih, ia tidak termasuk dalam menjaga tepi kain orang lain, tetapi ia dianggap sebagai mengambil berat di antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya, jika jiran anda meninggal dunia, dia tidak akan meninggal sendirian dan ada seseorang yang boleh menyedarinya.
Itulah perumpamaan yang pernah pensyarah saya ungkapkan bagi memberi maksud kepada komunikasi yang kian pudar dan dianggap jelek jika dilakukan sentiasa. Bahkan, banyak berita yang sering kita dengar, seperti – ‘Orang tua yang ditemui meninggal sendirian di rumahnya setelah dua minggu tidak kelihatan’ atau ‘pemuda yang mengalami kemurungan setelah kurang komunikasi’ dan sebagainya.
Kisah-kisah mengerikan seperti ini yang sepatutunya boleh dielakkan dengan mula menyantuni sesama manusia agar manusia tidak akan lupa bahasa dan fungsi komunikasi yang sebenarnya.
Bahkan, ada diceritakan dalam sebuah kitab Tafsir Ibn Kathir mengenai Allah yang bertanyakan kepada Nabi Musa akan tongkatnya.
Jika difikir secara logik, Allah itu sifatnya adalah Maha Mengetahui. Jadi, tidak perlulah Allah bertanyakan kepada Nabi Musa mengenai tongkat yang ada di tangan baginda.
Bahkan, Nabi Musa tidak langsung menjawab dengan jawapan yang kasar atau menjengkelkan tetapi dijawab secara santun dan jujur walaupun baginda tahu Allah sudah mengetahui jawapan yang sepatutnya.
Menurut perbahasan ulama, ia adalah cara bagaimana Allah mengajarkan kepada hambaNya untuk saling menyantuni dan bermesra agar perhubungan itu semakin akrab dan utuh.
Peristiwa ini ada dinukilkan melalui surah Taha yang berbunyi:
Mafhum: “Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat ini.” (Surah Taha, 20: 17-18)
Menurut pendapat ulama berdasarkan ayat ini juga mengatakan bahawa, persoalan yang Allah ajukan itu satu sahaja, namun dijawab dengan jawapan yang berjela-jela oleh baginda. Ia membuktikan bagaimana seronoknya seorang hamba yang ditegur oleh Allah.
Sama situasi dengan orang bercinta yang dibawakan contoh awal di atas. Namun, ia tidaklah bermaksud komunikasi jenis ini hanya boleh digunakan oleh orang yang bercinta sahaja, tetapi untuk semua orang.
Dalam erti kata lain, berkomunikasilah dengan jujur dan bahasa yang tidak menjengkelkan orang lain.
Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara).” (Surah Al-Ahzab, 33:70)
Wallahu a’alam.
Baca juga:
Beradab Dalam Berbicara
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.