Site icon Tazkirah

Bagaimana Untuk Mengelakkan Diri Daripada Tabarruj

Tabarruj bermaksud berlebihan dalam menampakkan perhiasan sama ada dari tubuhnya ataupun apa yang ditambah seperti alat solek dan juga pakaian yang mencolok mata.

Ia berasal daripada perkataan Arab, iaitu ‘buruj’ yang bermaksud bintang. Bintang selalunya akan kelihatan terang-benderang dan cantik dilihat.

Menurut pandangan jumhur ulama dan termasuk dalam Mazhab Syafi’e, ia merupakan perbuatan yang dilarang dalam Islam dan perlu dielakkan. Hal ini kerana, berlebih-lebihan dalam berhias dan menonjolkan diri boleh mengundang kepada fitnah yang besar terhadap Islam.

Jadi, entri kali akan membekalkan sedikit tips buat para wanita di luar sana untuk mengelakkan diri daripada bersikap tabarruj berdasarkan dalil yang boleh dirujuk ini.

#1 – Menahan Pandangan

Semahal-mahal perhiasan bagi wanita adalah malu. Oleh itu, bukan lelaki sahaja yang dituntut untuk menahan pandangan, namun ia juga perlu diaplikasikan oleh wanita.

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Mafhum: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah An-Nur, 24:31)

#2 – Menjaga Batas Pergaulan Dengan Lelaki Atau Wanita Bukan Mahram

Lelaki dan wanita perlu menjaga batas pergaulan sama ada dikenali atau tidak. Elakkan diri daripada menyentuh atau disentuh yang bukan mahram.

Ia juga ada disebut melalui riwayat Baginda SAW yang disebut oleh Ma’qil bin Yasar yang bermaksud:

Maksud: “Kalau sampai ditusuk pada kepala seseorang dengan jarum besi, maka itu adalah lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal dengannya.” (Hadis Riwayat Al-Tabarani dan Al-Baihaqi – Hadis ini dinilai sahih oleh Al-Albani)

#3 – Memakai Pakaian Yang Digariskan Oleh Agama

Pakaian merupakan aspek utama yang akan dilihat. Jika ia baik dan mengikut segala syarat, maka wanita itu telah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga kehormatan dan maruah dirinya.

Walau bagaimanapun, jika wanita itu memilih untuk memakai pakaian yang jarang dan ketat, tudung yang tidak menutup dada dan membuka auratnya selain daripada muka dan tapak tangan, maka wanita itu sendiri yang sengaja meletakkan dirinya pada tempat yang rugi.

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawiy juga, pakaian yang dipakai itu tidak boleh meniru pakaian dan gaya bukan Islam, pakaian yang menyerupai lelaki dan nipis.

Islam mengajar umatnya dalam penjagaan aurat bukan untuk kepentingan agama semata-mata, namun untuk menjaga kehormatan dan keselamatan seseorang juga.

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

Mafhum: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah An-Nur, 24:31)

Kesimpulan

Islam telah mengangkat kaum wanita yang dulunya ditindas dan ditanam hidup-hidup dengan meletakkan mereka kepada taraf yang lebih tinggi.

Dengan ini, wanita juga boleh berbuat apa sahaja yang mereka suka tanpa dihalang oleh norma masyarakat dan pandangan Islam.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab diri wanita itu juga untuk menjaga kehormatan diri sendiri berdasarkan garis panduan Islam.

Rujukan:
Fiqh Perkahwinan Halal dan Haram oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawiy

Exit mobile version