Hukum

Bolehkah Menjual Semula Hadiah Yang Telah Diterima

Oleh Fizah Lee  •  18 Dec 2019  •  3 min baca

Hibah ialah memberi hak milik sesuatu barang kepada seseorang dan barang tersebut sah untuk dijual atau diberi hutang dengan tiada unsur mengharapkan balasan atau sebarang pertukaran.

Ia adalah maksud yang dikeluarkan oleh jumhur ulama ke atas maksud ‘hibah’. Dalam bahasa mudahnya, hibah merupakan hadiah yang diberikan kepada seseorang.

Dalam Islam, memberi hadiah sangat dianjurkan sebagai tanda kasih-sayang dan bukan untuk mengharapkan balasan.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud – “Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 004)

Sebahagian ulama menyebut bahawa hukum memberi hadiah adalah sunnah dan dibolehkan dengan syarat bukan untuk mendapatkan balasan manakala wajib ke atas penerima hadiah untuk menerima hadiah tersebut.

Hal ini adalah berdasarkan beberapa dalil yang disebut oleh Baginda SAW dan antaranya ialah:

Dari Umar RA, Rasulullah SAW telah memberiku sebuah hadiah, lalu aku berkata: “Berilah kepada orang yang lebih fakir dariku, maka Rasulullah SAW berkata: “Ambillah apabila datang kepadamu sesuatu dari harta ini, sedangkan engkau tidak tamak dan tidak pula memintanya, maka ambillah dan simpan untuk dirimu, jikalau engkau menghendakinya, maka makanlah dan bila engkau tidak menginginkannya, bersedekahlah dengannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Menjual Hadiah Yang Diterima

Terdapat sebuah kata-kata yang masyhur – “Hadiah tidak dijual dan tidak juga dihadiahkan kepada orang lain.”

Menurut pendapat para ulama, ia hanyalah sebuah kata-kata para ilmuan dan bukan hadis atau dalil yang diriwayatkan dalam Islam.

Malah, tambahnya lagi, tiada dalil yang menunjukkan bahawa boleh atau tidak menjual hadiah atau memberikan hadiah yang diperoleh kepada orang lain. Terpulang kepada si penerima hadiah tersebut untuk melakukan apa sahaja yang disukainya terhadap hadiah tersebut. Hal ini kerana, hadiah tersebut merupakan hak mutlak si penerima tersebut.

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ، قَالَ: أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ، فَأَخَذَهَا، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالوُفُودِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ» فَلَبِثَ عُمَرُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَلْبَثَ، ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِجُبَّةِ دِيبَاجٍ، فَأَقْبَلَ بِهَا عُمَرُ، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: إِنَّكَ قُلْتَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ» وَأَرْسَلْتَ إِلَيَّ بِهَذِهِ الجُبَّةِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَبِيعُهَا أَوْ تُصِيبُ بِهَا حَاجَتَكَ»

Maksud: “Dari Ibnu Umar RA ia berkata: “Umar mengambil sebuah jubah dari sutera tebal yang dijual di pasar, lalu ia datang kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rsulullah, belilah jubah ini agar engkau dapat berdandan dengannya pada hari raya dan saat menerima utusan.” Rasulullah SAW bersabda kepada Umar: “Ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian (di akhirat nanti).” Kemudian, Baginda SAW mengirimkan jubah sutera kepadanya. Umar menerimanya lalu mendatangi Baginda SAW: “Wahai Baginda, bukankah engkau pernah mengatakan bahawa ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian namun engkau telah mengirimkannya kepada aku.” Lalu, Baginda SAW telah berkata kepada Umar: “Juallah jubah ini atau jika engkau mempunyai keperluan terhadapnya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 948)

Walau bagaimanapun, menurut adab dan nilai moral, adalah tidak sopan jika hadiah yang diberikan oleh orang lain diberi atau dijual kepada orang lain. Ia dianggap sebagai adab yang perlu diikuti oleh masyarakat kita.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Jurnal oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami