Seringkali selepas kita berdoa, akan disebut lafaz Aamin (آمين). Tahukah anda, aamin membawa maksud perkenankanlah. Ia merupakan sebuah kalimah doa.
Mengikut pendapat para ulama, aamin juga membawa maksud ‘Ya Allah, terimalah doa kami.’ Menurut Al-Hafiz Al-Munziri, Aamin merupakan salah satu daripada nama Allah.
Lafaz ini juga merupakan penutup kepada doa itu sendiri agar Allah memperkenankan doa yang dibaca. Dalam Al-Fatihah yang dibaca itu sudah merangkumi maksud-maksud yang meminta kepada Allah untuk kebahagiaan dunia dan juga akhirat.
Maksud: “Khatamlah (doamu) dengan aamin, dan terimalah berita gembira.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Tambah pandangan ulama lagi, lafaz ini membantu mencegah doa daripada rosak dan ditolak. Orang-orang yang berdoa dan orang yang mengaminkan doa, semuanya akan mendapat bahagian (ganjaran) daripada doa tersebut.
Kita bukan sahaja akan menyebut lafaz aamin selepas berdoa, malah setiap kali selepas membaca surah Al-Fatihah di dalam solat.
Menurut jumhur ulama, amalan ini merupakan sunnah Baginda SAW yang menyuruh umatnya membaca aamin dengan lafaz yang panjang selepas Al-Fatihah.
“Apabila selesai membaca ayat akhir Al-Fatihah, maka sebutlah aamin, nescaya diterima Allah SWT bagimu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 4040)
Solat yang dilakukan masih sah jika tidak menyebut lafaz aamin kerana yang wajib hanyalah bacaan Al-Fatihah itu sendiri. Surah Al-Fatihah sendiri mempunyai 7 ayat dan tidak termasuk perkataan aamin.
Oleh itu, tidak perlu merasa was-was sama ada solat anda diterima atau tidak jika terlupa melafazkan aamin kerana ia merupakan sunnah yang diamalkan oleh Baginda SAW dan bukan termasuk dalam hukum wajib.
Wallahu a’alam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.