Gaya Hidup

Bolehkah Menghebahkan Pertunangan?

Oleh Natirah Azira  •  16 Dec 2019  •  3 min baca

Bertunang bermaksud mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin). Pertunangan ialah sebagai satu tanda persetujuan oleh kedua-dua pihak sebelum membina rumah tangga.

Pertunangan dalam Islam bertujuan untuk mengenal peribadi dan akhlak pasangan. Dalam masa yang sama ia dapat menyediakan ruang yang lebih khusus untuk kedua-duanya menumpukan kepada hubungan dan persiapan diri masing-masing.

Rasulullah SAW juga pernah menyuruh seorang sahabat yang ingin bertunang supaya melihat raut wajah wanita yang ingin dinikahi terlebih dahulu.

انْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا

Maksudnya: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1087)

Bermakna ada suatu perkara yang lebih istimewa dalam ikatan pertunangan, sekalipun mungkin pada masa sekarang, wajah pasangan tersebut sudah selalu dilihat sama ada melalui media sosial atau berdepan.

Hukum Menghebahkan Pertunangan

Manakala dalam soal menghebahkan berita pertunangan pula, terdapat satu hadis yang sangat biasa kita dengar dan selalu disebut-sebut oleh ramai orang.

Daripada Ummu Salamah R.Anha, yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة

Maksudnya: Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan. (Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus (1/1/27)

Dari sini, sebahagian ulama Mazhab Maliki berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Seperti yang disebutkan oleh Al-Kharasyi Rahimahullah dalam Kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil:

“Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikan seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan diantara orang yang bertunang dan ahli yang ditunangnya”

Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk menghebahkan pertunangan tersebut kerana hadis yang disebutkan oleh Ummu Salamah dinilai dhaif. Hal ini demikian kerana ada perawi yang tidak dikenali dalam sanad hadis tersebut.

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula cenderung berpegang bahawa perlunya menghebahkan pertunangan bagi mengelakkan berlakunya pinangan atas pinangan yang hukumnya haram di dalam Islam.

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma Rasulullah SAW bersabda:

Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan. (Riwayat Muslim, no. 1412)

Bolehkah Mengadakan Majlis Pertunangan Secara Besar-Besaran

Justeru kita sudah mengetahui bahawa tiada masalah untuk menghebahkan pertunangan atau tidak. Namun, adakah ini bermakna majlis pertunangan boleh diadakan secara besar-besaran? Perkara ini dilihat semakin menjadi trend, malah ada pula yang mewujudkan peranan seakan-akan ‘bridesmaid’ atau teman-teman pengiring di dalam majlis.

Bagi menjawab persoalan ini, Tzkrh telah merujuk kepada pandangan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengatakan bahawa tidak digalakkan untuk mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran, lebih-lebih lagi jika untuk tujuan bermegah-megah serta ada unsur pembaziran dan hiburan yang berlebihan.

Pilihlah jalan sederhana dalam apa jua perkara yang dilakukan. Apa yang lebih penting, matlamat pertunangan tercapai iaitu mengenali pasangan dengan lebih dekat serta membuat persiapan yang rapi untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Rujukan:
Hukum Bertunang Besar-Besaran
Hukum Menyembunyikan Pertunangan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami