Ibadah

Peristiwa Tiupan Sangkakala Petanda Hari Kiamat

Oleh Fizah Lee  •  16 Dec 2019  •  3 min baca

Sangkakala merupakan sebuah alat yang akan ditiup oleh malaikat yang telah ditugaskan sebelum menjelang kiamat bagi memberikan petanda bahawa ia akan berlaku.

Allah telah menyebut mengenai sangkakala di dalam Al-Quran sebagai الصُّور (At-Thur). Dari segi istilah, ia merupakan sebuah sangkakala yang sangat besar dan akan ditiup oleh malaikat yang ditugaskan.

قَالَ أَعْرَابِيٌّ: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا الصُّورُ؟ قَالَ: قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ

Maksud: “Ada orang Arab Badwi telah bertanya: “Ya Rasulullah, apa itu at-Thur (sangkakala)?” Baginda menjawab: “Ia merupakan tanduk yang akan ditiup.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, no 3244)

Walaupun terdapat pelbagai perbahasan ulama berkenaan sangkakala, namun tiada yang tahu bagaimana bunyi sangkakala yang sebenar.

Bagi menjawab persoalan kepada bunyi-bunyi yang pernah tular kerana keluar dari langit, para ulama membahaskan bahawa ia bukanlah bunyi sangkakala kerana hanya sesetengah tempat sahaja yang mendengarnya sedangkan tiupan sangkakala akan didengari oleh seluruh hamba dalam masa yang sama.

Berkenaan dengan jumlah tiupan yang akan berlaku, para ulama seperti Ibnu ‘Abbas, Al-Hassan al-Basri, Qatadah dan Ibnu Hajar berpendapat bahawa tiupan sangkakala akan berlaku sebanyak dua kali.

Walaupun terdapat beberapa ulama lain yang berpendapat bahawa ia akan berlaku sebanyak tiga kali, namun pendapat ia ditiup sebanyak dua kali adalah lebih sahih dan kuat.

Tiupan yang pertama disebut sebagai nafkhotul faza’ wa ash-sha’qi yang bermaksud tiupan yang mengejutkan seluruh makhluk sehingga menyebabkan kematian mereka.

يَوْمَ تَرْجُفُ الرَّاجِفَةُ

تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ

Mafhum: “Pada masa berlakunya ‘tiupan sangkakala yang pertama’ yang menggoncangkan alam (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan). Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing).” (Surah An-Nazi’at, 79:6-7)

Melalui dalil ini, dikhabarkan bahawa tiupan sangkakala merupakan kemuncak kepada kejadian kiamat di muka bumi sebelum semuanya dihidupkan kembali di Padang Mahsyar. Semua manusia akan diselubungi perasaan takut sebelum masing-masing dicabut nyawanya.

وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ

Mafhum: “Dan (ingatkanlah) hari ditiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendakaki Allah dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.” (Surah An-Naml, 27:87)

Tambah jumhur ulama lagi, tiupan ini akan dilakukan oleh malaikat yang diberi nama Israfil dan malaikat ini sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT untuk melaksanakan tugasnya.

Dasyatnya penceritaan mengenai tiupan sangkakala ini sehingga Allah SWT memberi amaran di dalam Al-Quran berkenaan gambaran yang akan berlaku pada hari tersebut.

Oleh itu, sebagai hambaNya, wajib untuk kita beriman kepada hari kiamat dan perkara-perkara yang bakal berlaku. Ia sekali gus akan membuatkan hati kita untuk lebih dekat denganNya.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ

يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ

Mafhum: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (eristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berta, mengerikan.” (Surah Al-Hajj, 22:1-2)

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami