Gaya Hidup

Menjawab Persoalan Orang Islam Tidak Boleh Bekerjasama Dengan Bukan Islam

Oleh Fizah Lee  •  13 Dec 2019  •  4 min baca

Betulkah orang Islam dilarang bekerjasama dengan kaum Yahudi atau orang Kafir? Apabila dilihat pada persoalan yang dikemukakan oleh orang bukan Islam, rata-rata berasa keliru dengan perihal ini.

Malah, ramai yang menzahirkan rasa tidak puas hati dengan ajaran Islam yang melarang daripada bergaul dengan bukan Islam.

Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menyebut mengenai perihal ini, iaitu:

#1 – Surah Al-Imran

Mafhum: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Imran, 3:28)

#2 – Surah An-Nisa

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Nisa, 4:144)

Banyak lagi ayat daripada Al-Quran yang membicarakan mengenai isu ini. Ia sekaligus membuatkan ramai di kalangan kita yang cetek pengetahuan akan mudah berasa keliru.

Apa Kata Ulama

Orang kafir bukanlah semuanya jahat. Jika diamati sejarah pada zaman Baginda SAW pun, bukan semua kaum Musyrikin Mekah yang menentang Baginda. Ada juga dikalangan mereka yang langsung tidak ambil peduli, asalkan mereka dapat hidup aman damai di Mekah.

Apabila dikaji, orang kafir sebenarnya terbahagi kepada empat jenis, iaitu:

#1 – Kafir Mu’ahid

Orang kafir yang tinggal dalam negeri mereka sendiri dan terdapat juga kaum muslimin yang tinggal di sana. Masing-masing saling mengikat perjanjian sama ada perjanjian damai atau yang berkaitan dengan negara.

#2 – Kafir Dzimmi

Orang kafir yang tinggal dalam negara orang Muslim. Sebagai ganti, mereka perlu membayar jizyah (wang pampasan) sebagai perlindungan terhadap mereka.

#3 – Kafir Musta’man

Orang kafir yang masuk ke negara orang muslim dan diberi jaminan keamanan oleh penguasa muslimin.

#4 – Kafir Harbi

Orang kafir yang selain daripada tiga di atas. Kafir ini adalah kelompok yang memerangi Islam dan sentiasa menabur fitnah ke atasnya.

Orang Muslim disyariatkan untuk memerangi orang kafir seperti ini (Harbi) sesuai dengan kemampuan mereka.

Bagi menjawab persoalan berkenaan dalil-dalil yang telah dikemukakan di atas, para ulama berpendapat bahawa selagi sesebuah kerjasama itu tidak memberikan kesan buruk kepada iman dan juga Islam, tidak merosakkan akidah dan mendatangkan fitnah, maka ia adalah tidak mengapa.

Malah, jika ia dilakukan untuk kemaslahatan dan kedamaian sesebuah negara, ia adalah sesuatu yang digalakkan dengan syarat nama baik Islam masih lagi dijaga.

Sebenarnya, larangan (dalil) yang turun itu adalah merujuk kepada golongan kafir yang sengaja memisahkan diri daripada bergaul dengan masyarakat Islam.

Mereka hanya mementingkan ajaran, kepercayaan dan syiar agama mereka sendiri dan enggan untuk bersosial dengan golongan Muslim atau agama lain walaupun hakikatnya agama lain tidak melakukan perbuatan yang terlarang ke atas mereka.

Secara umumnya, golongan muslim yang berada dalam sesebuah negara perlu mematuhi dan mentaati negara yang melindunginya selagi mana agamanya terjaga.

Oleh itu, bukan menjadi kesalahan untuk seorang muslim memerangi dengan syarat untuk melindungi diri jika berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Selain itu, larangan untuk bergaul rapat dengan golongan kafir ialah terhadap mereka yang menentang Islam sama ada secara terang-terangan mahupun sembunyi.

Kita juga dapat lihat bahawa golongan yang tidak menerima Islam ini terbahagi kepada dua golongan, iaitu:

#1 – Orang yang menolak agama tetapi hidup dalam keadaan damai bersama umat Islam yang lain. Dalam erti kata lain, mereka tidak memerangi umat Islam.

#2 – Orang yang menolak dan memerangi Islam secara terang-terangan sama ada dengan bersikap ganas. Mereka selalu mencari cara untuk menjatuhkan Islam dan penganutnya.

Jika dilihat firman Allah dalam surah yang lain ada menyebutkan bahawa, jangan diperangi orang yang tidak memerangi kita. Sebaliknya, jika ia berlaku dan anda perlu bertindak demi menjaga maruah Islam dan diri sendiri, maka dibolehkan untuk melakukannya.

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Mafhum: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Mumtahanah, 60:8-9)

Kesimpulan

Tuntasnya, dapat kita faham bahawa Islam itu bukanlah sebuah agama yang menyukai peperangan. Ia hanya berlaku apabila agama dan diri sendiri diancam.

Sama sahaja dengan sejarah perang yang pernah berlaku pada zaman dahulu kala yang membuktikan bahawa peperangan yang berlaku bukanlah atas dasar suka-suka atau untuk menghalang daripada agama lain berkembang, malah ia bermula apabila Islam itu sendiri diperangi dan agamanya dihalang daripada bersinar.

Rujukan:
Mengapa Takut Dengan Islam oleh Dr Abdul Wudud Shalabiy


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami