Jibrail, Mikail, Israfil, Izrail, Munkar, Nakir, Raqib, ‘Atid, Malik, Ridwan.
Kita diajar bahawa inilah nama sepuluh malaikat yang wajib diketahui. Hinggakan senarai nama ini dinyanyikan bagi memudahkan hafalan.
Di sebalik nama yang sepuluh ini, ada ‘dua malaikat’ yang sentiasa bersama kita setiap masa, duduknya di sebelah kanan dan kiri sambil mencatat amalan serta setiap apa yang dilakukan oleh tubuh badan.
Kita mengenalinya dengan nama Malaikat Raqib dan ‘Atid.
إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
“Iaitu ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.”(Surah Qaaf: 17-18)
Namun, benarkah nama dua malaikat ini adalah Raqib dan ‘Atid?
Rata-rata ulama tafsir menerangkan bahawa kalimah Raqib dan ‘Atid dalam ayat tersebut sebenarnya adalah sifat bagi kedua-dua nama malaikat tersebut sahaja, sedangkan nama sebenarnya tidak diketahui.
Penjelasan Daripada Kitab Tafsir Al-Qurtubi
Tafsir Al-Qurtubi menerangkan bahawa Raqib dan ‘Atid ini adalah sifat malaikat yang mempunyai beberapa erti.
Makna Raqib ada tiga iaitu:
1. Sentiasa mengikuti perkara manusia.
2. Penjaga (Ini merupakan pendapat dari As-Suddi)
3. Saksi (Ini merupakan pendapat dari Ad-Dhahak)
Makna ‘Atid pula ada dua:
1. Yang sentiasa hadir dan tidak pernah hilang.
2. Penjaga yang sentiasa siap sedia, sama ada tugasnya untuk menjaga atau menjadi saksi.
Penjelasan Ibnu Kathir
Ibnu Katsir juga menerangkan hal yang sama, bahawa dua nama tersebut ‘Raqib’ dan ‘Atid’ merupakan sifat dari malaikat. Demikian kata Ibnu Katsir:
ﻣﻦ ﻳﺮﺍﻗﺒﻬﺎ ﻣﻌﺘﺪ ﻟﺬﻟﻚ ﻳﻜﺘﺒﻬﺎ ، ﻻ ﻳﺘﺮﻙ ﻛﻠﻤﺔ ﻭﻻ ﺣﺮﻛﺔ
“Iaitu yang mengawasi dan disiap sediakan untuk hal tersebut, tidaklah terluput atau tertinggal satu kalimat pun atau satu gerakan pun” (Tafsir Ibnu Katsir, 7/398)
Penjelasan Syaikh Utsaimin
Syaikh Utsaimin pula berkata bahawa Raqib bermakna pengawas yang mengawasi siang dan malam, dan tidak henti-hentinya mengawasi manusia.
‘Atid pula bermakna yang selalu hadir, tidak mungkin hilang atau mewakilkan yang lain untuk tugasnya. Maksudnya, selalu hadir dan mengawasi dan tidak terlepas sesuatupun” (Tafsir Surah Qaaf Syaikh Al-‘Utsaimin)
Adapun pendapat yang mengatakan bahawa Raqib dan Atid itu adalah nama malaikat – Raqib mencatat amalan baik dan ‘Atid pula mencatat amalan yang buruk – ia adalah pendapat yang tidak tepat. Syaikh Sulaiman Al-Asyqar berkata,
“Sebahagian ulama menyatakan bahawa di antara nama malaikat iaitu Raqib dan ‘Atid dengan disandarkan kepada dalil daripada surah Qaf, ayat 18 itu tidak benar. Raqib dan ‘Atid adalah sifat dari dua malaikat yang mencatat amalan manusia.” (‘Alam al-Malaikat Al-Abrar, hal. 12)
Sungguhpun kita tidak mengetahui nama kedua malaikat tersebut dengan tepat, kita mengetahui tugas mereka iaitu sentiasa berada bersama manusia dan mencatat setiap amalan yang dilakukan tidak kira amalan baik atau buruk. Ketahuilah setiap catatan itu kelak akan dipersembahkan kepada Allah tanpa ada satu pun yang tertinggal. Wallahua’lam.

