Antara perkara yang sangat dianjurkan dalam hal penjagaan diri seorang Muslim (lelaki), adalah menyimpan dan merapikan janggut. Jika dahulu, amalan menyimpan janggut sering dikaitkan dengan sesetengah agama, namun pada masa sekarang, amalan menyimpan janggut sudah dikira suatu trend yang universal, tanpa mengira bangsa atau agama.
Walau bagaimanapun, bagi agama Islam, amalan menyimpan janggut masih dikira perbuatan sunnah kerana ia adalah amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Al-Tirmizi dalam Syamail Muhammadiyyah ada menyebutkan mengenai sifat janggut Rasulullah iaitu tebal dan lebat.
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- …كَثِيرَ شَعْرِ اللِّحْيَةِ
Maksudnya: “Adalah janggut Rasulullah SAW sangat lebat.” (Riwayat Muslim, no.6230)
Rasulullah SAW menyarankan umat Islam supaya memotong misai dan memelihara janggut bagi membezakan mereka dengan orang Musyrik dan Majusi. Ini kerana orang Majusi pada zaman tersebut sering menggunting janggut mereka dan ada pula yang mencukurnya.
Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: “Bezakanlah diri kamu dengan orang-orang musyrikin. Peliharalah janggut dan cukurlah misai.”
Terdapat perbahasan berkenaan larangan mencukur janggut ini dalam kalangan ulama’.
1. Haram
Pendapat ini dipegang oleh Ibnu Taimiyah, jumhur fuqaha’ daripada Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie. Ini kerana ia bertentangan daripada suruhan Nabi SAW supaya memelihara janggut. Lihat Al-Mausu’ah Al-Kuwaitiyyah Al-Fiqhiyyah (Jil 35, hlm. 226)
2. Makruh
Pendapat ini ada disebutkan dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari yang menukilkan pendapat daripada Qadhi Iyadh.
Qadhi Iyadh berkata: “Makruh bagi seseorang mencukur janggut, mengguntingnya, memendekkannya serta meratakannya. Tetapi jika diuruskannya supaya jangan terlalu panjang dan lebat, adalah tidak mengapa dan yang demikian itu bagus.”
3. Mubah Atau Harus
Para ulama masa kini membenarkan mencukur janggut kerana mengikut kehendak masa sekarang.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, pendapat yang dinilai paling sederhana adalah yang menetapkan bahawa ia adalah makruh sahaja. Perintah untuk memelihara janggut pula tidak bermaksud perintah wajib yang pasti – hanya ditegaskan supaya kita tidak menyerupai orang kafir sahaja.
Penulis pula secara peribadi melihat bahawa amalan menyimpan janggut dan jambang kini telah menjadi satu trend dan gaya yang bukan hanya diamalkan oleh orang Islam, malah orang bukan Islam.
Walaubagaimanapun, ia tidak dikira sebagai suatu perbuatan yang meniru, kerana hukum menyimpan janggut pada asalnya adalah sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri.
Kesimpulannya, perlu difahami bahawa perkara ini tergolong dalam isu mustahab sahaja iaitu suatu yang dituntut atau dianjurkan. Wallahu’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.