Inspirasi

Rahsia Di Sebalik Ayat Kursi

Oleh Natirah Azira  •  10 Dec 2019  •  4 min baca

Setiap kalimah yang terkandung dalam Al-Quran sangat istimewa kerana ayat-ayat yang diturunkan memiliki beribu rahsia – sama ada melalui terjemahan, sebab penurunannya bahkan melalui susunan dan rangkaian perkaitan antara setiap ayat.

Di dalam ilmu pengajian Al-Quran, terdapat cabang ilmu yang dipanggil Ilmu Munasabah. Ia adalah tentang hubungan atau keterikatan antara satu kalimat dengan kalimat lain dalam satu ayat, atau antara satu ayat dengan satu ayat dalam serangkaian ayat-ayat Al-Quran, atau antara satu surah dengan satu surah yang lain.

Kali ini Tzkrh ingin berkongsi dengan para pembaca di luar sana, tentang bagaimana Ayat Kursi mampu difahami dari kaca mata berbeza berbanding terjemahan yang biasa berpandukan Ilmu Munasabah. Ayat Kursi (Surah Al Baqarah 2:255) di bawah telah dipecahkan kepada 9 bahagian berdasarkan susunan tempat berhentinya.

#1

اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

#2

لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ

Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

#3

لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

#4

مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

#5

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ

yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,

#6

وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

#7

وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi

#8

وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا

dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

#9

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Rahsia Di Sebalik Ayat Kursi

Kesinambungan Ayat 1 & 9

Bahagian 1 daripada ayat yang ke 255 daripada surah Al-Baqarah ini dapat dipadankan dengan bahagian ke 9. Perhatikan bagaimana terdapat kesinambungan daripada segi maksudnya.

Ayat 1 menyebutkan dua nama Allah iaitu ‘Al-Hayy’ dan ‘Al-Qayyum’, iaitu yang hidup dan juga Yang Maha Menjaga. Ayat kesembilan juga mempunyai dua nama Allah pada ayat ini iaitu ‘Al-‘Aliy’ (Yang Maha Tinggi) dan ‘Al-‘Adzim’ (Maha Besar). Nama-nama ini menggambarkan sifat yang ada pada Allah sebagai penguasa.

Kesinambungan Ayat 2 & 8

Ayat 1 mempunyai kesinambungan dengan ayat ke-2. Perhatikan makna bagi ayat ke-2 iaitu ‘Yang Tidak Mengantuk Dan Tidak Tidur’.

Jika manusia yang pekerjaannya menjaga sesuatu, pengawal contohnya – biasanya akan mudah diserang rasa mengantuk dan bosan terutama pada waktu malam. Namun penegasan diberikan di sini, iaitu Allah sebagai Yang Maha Mentadbir dan Menjaga tidak akan sesekali rasa mengantuk apatah lagi tidur. Ayat ke-2 ini berkait pula dengan ayat ke-8 iaitu ‘Tidak menjadi keberatan bagi Allah untuk memelihara keduanya (langit dan bumi).

Kesinambungan Ayat 3 & 7

Seterusnya perhatikan ayat ke-3, Allah mengatakan bahawa Allah lah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi. Manakala ayat ke-7 menyebutkan perkara yang sama – bahawa Allah memiliki takhta kekuasaan yang meliputi langit dan bumi.

Perlu diketahui bahawa Allah mempunyai dua nama yang berasal daripada huruf yang sama iaitu: Maalik (مالك) dan Malik (ملك). Maalik bermaksud pemilik sedangkan Malik bermaksud Raja.

Selalunya pemilik tidak semestinya menjadi Raja, dan seorang Raja pula tidak semestinya memiliki segalanya. Seseorang pemilik biasanya hanya memiliki barangan tertentu sahaja, sedangkan raja biasanya berkuasa ke atas orang atau rakyatnya. Namun Allah memiliki kedua-duanya. Allah adalah pemilik dan Allah jua adalah Raja.

Kesinambungan Ayat 4 & 6

Ayat ke-4 bercakap tentang ‘syafaat’. Dalam bahasa mudahnya apabila anda mendapat syafaat, ia seolah-olah seperti ‘pas istimewa’ atau ‘jalan singkat’ untuk mendapat suatu kelebihan.

Maka dalam ayat ini, Allah menyebutkan bahawa tidak ada orang lain yang dapat memberi kelebihan tersebut melainkan Allah sahaja. Ia bersambung dengan ayat ke-6, yang menerangkan bahawa manusia tidak dapat mengetahui apa-apa kecuali hanya Allah sahaja yang dapat memberikan ilmu dan kelebihan kepada hamba yang dikehendakiNya.

Ayat Ke-5 (Terakhir)

Ayat ini seolah-olah menjadi ‘kesimpulan’ kepada ayat sebelum dan selepas itu. Bahkan Allah lah yang mengetahui segala apa yang telah terjadi kepada manusia sebelum sesuatu itu terjadi dan juga selepas sesuatu terjadi.

Kesimpulan

Sesungguhnya Al-Quran adalah mukjizat. Masih banyak rahsia yang belum diterokai dan mungkin masih belum difahami oleh akal kita. Semoga Allah memberikan kita hati yang dekat dengan Al-Quran untuk membaca, memahami dan mengamalkannya.

Sumber: Ustaz Nouman Ali Khan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami