Site icon Tazkirah

Hiduplah Di Dunia Sebagai Seorang Pengembara

Semua orang tahu bahawa kehidupannya di dunia ini sementara. Sampai masanya kita akan mati – kita akan kembali menjadi tanah dan roh kita akan bergerak ke alam lain. Namun dalam banyak keadaan, perbuatan kita sering menunjukkan seolah-olah kita hidup di dunia ini selamanya.

Kita terkesan dengan segala yang terjadi di dunia – kita sering bertelingkah dengan orang, terlampau sedih dengan apa yang terjadi, gusar dengan masa hadapan, sering berkeluh kesah dengan masalah dan lain-lain.

Dalam maksud yang lainnya – kita terlupa bahawa hidup ini sementara dan kita boleh mati pada bila-bila masa.

Hiduplah Seperti Seorang Pengembara

ن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – بِمَنْكِبِي وَقَالَ: “كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ”. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِك لِمَرَضِك وَمِنْ حَيَاتِك لِمَوْتِك.

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW memegang kedua bahuku seraya bersabda:

“Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”, Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di pagi hari, jangan tunggu sampai petang hari. Jika engkau berada di petang hari, jangan tunggu sampai pagi. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu.” (HR. Bukhari, no. 6416 – Status Hadis Sahih)

Dikatakan usia Ibnu Umar ketika itu baru 12 tahun. Sungguhpun usianya masih mudah, namun pesanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW mengandungi peringatan yang sangat besar, iaitu supaya tidak ada ‘attachment’ atau ikatan kuat dengan dunia.

Tidak seharusnya kita ‘jatuh cinta’ dengan dunia kerana hakikatnya ia adalah tempat singgahan sementara sahaja, sedangkan tempat asal kita dari keturunan Nabi Adam dan Hawa adalah di syurga. Terlontarnya manusia ke dunia hanya untuk diuji, siapakah yang mengenal semula ‘jalan pulang’ ke syurga.

Jika Berada Di Pagi Hari, Jangan Tunggu Sehingga Waktu Petang

Pesanan yang disambung oleh Ibnu Umar di dalam hadis di atas pula mengingatkan kita supaya tidak menunda-nunda amal yang ingin dilakukan mahupun kebaikan. Jika berada di waktu pagi, usah menunda sesuatu hingga waktu petang. Dan jika berada pada waktu petang, usah menunda sehingga keesokan hari.

Perumpamaan lain yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW, kita adalah seperti seorang musafir yang berteduh di bawah pohon dan beristirehat. Singgahannya tidak lama, cukup melepas lelah atau mengisi bekalan sebelum menyambung semula perjalanan.

مَا لِى وَمَا لِلدُّنْيَا مَا أَنَا فِى الدُّنْيَا إِلاَّ كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

“Apa peduliku dengan dunia?! Tidaklah aku tinggal di dunia melainkan seperti musafir yang berteduh di bawah pohon dan beristirahat, lalu musafir tersebut meninggalkannya.” (HR. Tirmidzi no. 2377 dan Ibnu Majah no. 4109, hadis dari ‘Alqamah, dari ‘Abdullah. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini hasan)

Bagaimana Sikap Seorang Pengembara Yang Asing?

At-Thibiy mengatakan bahawa Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang hidup di dunia ini sebagai pengembara kerana seorang pengembara menuju negeri yang jauh iaitu akhirat. Pengembara juga akan melewati pelbagai cabaran sepanjang perjalanannya – seperti lembah-lembah di kanan kirinya, akan dilalui tempat-tempat yang membinasakan, dia akan melewati padang pasir yang menyengsarakan dan ada juga perompak. (Fath Al-Bari, 18:224)

Bermakna, seorang pengembara tahu bahawa dia akan menempuh perjalanan yang sukar dan mencabar. Mungkin dia akan bertemu dengan orang yang ingin menipu dengan ‘pakej’ perjalanan yang lebih mahal, yang akan membawanya melalui perjalanan yang lebih jauh, maka dia akan lebih berhati-hati dan tidak terleka.

Seorang pengembara juga memahami bahawa dia tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan apa sahaja di tempat singgahannya. Dia hanya boleh melepas penat, berehat, atau mengisi bekalan untuk perjalanan seterusnya yang masih panjang. Dia perlu menjaga keelokan tempat yang disinggahi, tidak melakukan kerosakan dan mengambil sekadar yang perlu sahaja.

Begitulah juga sikap seorang pengembara di dunia ini. Dia tidak terleka dengan nikmat yang diberikan sebentar oleh Allah, tidak terleka dengan kekayaan yang boleh membinasakan serta tidak merosakkan dunia ini dengan perilaku yang zalim.

“Tempat tinggal kita yang sebenar-benarnya ialah syurga. Masalahnya, kita cuba mencari syurga itu di dunia.” – Yasmin Mogahed

Exit mobile version