Gaya Hidup

Dajjal Dipertontonkan Melalui Messiah?

Oleh Natirah Azira  •  9 Dec 2019  •  4 min baca

Minggu lepas heboh di media sosial apabila video acah (trailer) siri Netflix bertajuk Messiah tular. Pelbagai spekulasi dan teori mula dicipta dan diperdebatkan terutama di laman sosial Twitter.

Ada yang mengatakan bahawa watak Messiah yang dibawa oleh Mehdi Dehbi itu sebenarnya adalah watak Dajjal yang akan menyesatkan manusia. Ada pula yang menganggap bahawa dia adalah penyelamat yang akan hadir di penghujung zaman.

Rata-rata mereka yang menganut agama-agama besar dunia seperti Islam, Kristian dan Yahudi tahu tentang sejarah besar yang diceritakan akan berlaku semula di akhir zaman nanti.

Dajjal yang mempunyai kuasa luar biasa, akan keluar dan bertindak menyesatkan manusia melalui pelbagai cara – menyembuhkan yang sakit, menghidupkan yang mati dan menawarkan berbagai nikmat yang disenangi oleh manusia. Setelah itu akan turun pula Nabi Isa berserta Imam Mahdi untuk menyelamatkan semula manusia daripada cengkaman dan pengaruh Dajjal.

Peluang Mencari Tahu Maklumat Sebenar Tentang Dajjal

Sebenarnya tidak perlu mengaitkan cerita tersebut dengan teori konspirasi atau menyangka bahawa musuh Islam sedang cuba untuk merangka strategi menyebarkan hal yang tidak benar tentang Dajjal.

Bukankah hal ini boleh dikira sebagai peluang untuk mencari tahu tentang kebenaran, untuk menapis cerita-cerita yang tidak benar tentang Dajjal serta mencari tahu tentang riwayat-riwayat yang sahih. Jika benar sangkaan awal itu sekalipun, kita masih punya banyak cara untuk memperteguhkan kefahaman diri sendiri. Pulanglah kepada kebenaran.

Cerita Tentang Dajjal Daripada Perspektif Islam

Al-Quran tidak menyebutkan Dajjal di dalam Al-Quran, namun ia ada disebutkan melalui hadis-hadis daripada Nabi SAW. Sesetengah berpendapat namanya tidak disebut di dalam Al-Quran bagi menghina dan memperkecilkannya.

Maksud Dajjal

Kata Dajjal (دجال) berasal daripada perkataan dajala, yang bermaksud menutupi sesuatu. Kamus Lisan al-‘Arab menyebutkan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal:

– Kerana ia pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
– Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
– Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
– Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Antara sifat Dajjal adalah al-Kazib (pendusta). Ia menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia serta menampakkan hal-hal yang buruk menjadi cantik dan baik.

Bagaimana Untuk Mengenali Dajjal?

Melalui hadis-hadis Nabi SAW pula, terdapat beberapa ciri Dajjal yang diterangkan oleh baginda SAW:

– Seorang manusia.
– Rambutnya kerinting dan kusut masai.
– Sebelah daripada matanya buta.
– Tertulis pada dahinya (kufur).
– Berkaki bengkok dan lelaki pendek.

Dalil-Dalil Berkenaan Dajjal

Daripada Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى ، جُفَالُ الشَّعَرِ ، مَعَهُ جَنَّةٌ وَنَارٌ ، فَنَارُهُ جَنَّةٌ وَجَنَّتُهُ نَارٌ

Maksudnya: “Dajjal itu cacat matanya yang kiri, kerinting rambutnya, bersamanya syurga dan neraka. Nerakanya ialah syurga dan syurganya ialah neraka.” (Riwayat Muslim, no.7474 dan Ibn Majah, no. 4071 – Taraf hadis sahih)

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.” (Riwayat Abu Daud, no 4320 dan Ahmad, no.2344)

Dalam sebuah riwayat diceritakan juga antara tipu daya syaitan adalah menghidupkan orang yang telah mati. Tetapi sebenarnya yang berlaku adalah, dajjal bertindak dengan bantuan syaitan dengan menyuruh ia menyerupai orang yang telah mati. Sesungguhnya Allah jua lah yang berkuasa mematikan dan menghidupkan manusia.

Di Manakah Dajjal Akan Keluar?

Melalui riwayat-riwayat yang sahih, Dajjal akan keluar dari arah Timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan (Ia terdiri daripada beberapa daerah antaranya Naisabur di Iran).

Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ

Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”. Riwayat Al-Tirmidzi (no. 2237). Imam Al-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai hasan gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadis ini adalah sahih.

Kesimpulan

Jika diceritakan bahawa tipu daya syaitan itu benar-benar ada, ramai yang tidak percaya atau tidak menyedarinya. Mungkin kerana syaitan adalah suatu makhluk yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia. Namun didatangkan pula Dajjal yang boleh dilihat, inilah cubaan terakhir bagi manusia. Tugasnya sama jua dengan iblis dan syaitan yang ada iaitu menyesatkan manusia dan menipu daya.

Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa bahawa dirinya adalah Tuhan atau memiliki kuasa seperti Tuhan, sedangkan dia adalah manusia biasa, hanya diberi sedikit kelebihan untuk menguji manusia buat kali terakhir. Wallahu’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami