Gaya Hidup

Tenang Itu Menang

Oleh Abdullah Bukhari  •  4 Dec 2019  •  5 min baca

Jauh sekali beza antara tenang dan kalut. Sikap kalut atau gopoh pada asalnya hanya secebis api kecil membara dalam jiwa. Jika ia tidak dikawal dengan hemah, api kalut akan marak mengganas sehingga membakar empunya badan.

Apabila kalut menguasai diri, banyak tindakan tidak waras boleh berlaku dan ia pasti menjadi sesalan empunya badan kemudian hari. Oleh itu, sikap tenang wajib dimiliki oleh setiap Muslim.

Pernah suatu hari, seorang sahabat nabi bernama Asyajj ‘Abdul Qays (nama sebenarnya al-Mundhir bin al-Harith R.A) masuk bertemu baginda bersama kaumnya. Melihat sifat tenang nan anggun yang beliau pamerkan, Rasulullah S.A.W lantas memujinya:

إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ
Sesungguhnya ada 2 kualiti (sifat) pada kamu yang Allah cintai iaitu sifat Sopan Santun (bijak dalam bertindak) dan tenang (tidak gopoh atau meneliti sebelum bertindak)Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi

Subhanallah! Allah cinta sikap tenang Asyajj. Seolah-olah boleh kita katakan, sesiapa sahaja yang tenang sangat disukai Allah. Mengapa Allah suka sifat tenang? Hamba yang tenang sukar terjerumus dalam kesilapan emosi yang didorong oleh ketidak warasan berfikir.

Orang yang tenang tidak bertindak kecuali selepas lama berfikir dan melihat segala sudut baik atau buruk. Lidah atau jari jemarinya tidak cepat menutur kata (di alam nyata atau alam maya dalam medial sosial) sebelum dinilai dosa pahalanya.

Bicara dan tindakan mereka dilihat dalam neraca manafaat dan bahagia. Geraknya hanya mencari pahala dan membahagiakan orang.

Jika kita telusuri dalam al-Quran ketenangan adalah antara anugerah berharga dambaan orang beriman. Sifat ini banyak menjadi sebab kemenangan umat Islam, antaranya:

#1- Rasulullah S.A.W Dan Abu Bakar R.A Diberi Ketenangan Dalam Gua Thur

Peristiwa ini berlaku ketika diburu musuh dalam peristiwa hijrah:

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana Surah al-Taubah 9:40

#2- Umat Islam Dibantu Ketika Perang Hunayn

Allah telah memberikan ketenangan kepada tentera Islam ketika diserang hendap kafir Hawazin dalam perang Hunayn:

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak perang dan dalam perang Hunain, iaitu semasa kamu berasa megah kerana jumlah kamu yang ramai; maka jumlah yang ramai itu tidak memberi faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang beriman. Allah juga menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Dia menyeksa orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang yang kafir Surah al-Tawbah 9:25-26

Tambah menarik perhatian adalah gandingan sifat tenang dan bantuan malaikat yang disebut dalam kedua ayat di atas. Seolah Allah mahu kita tahu, ketenangan adalah sifat terpuji yang disukai malaikat, manakala sifat kalut serba gopoh senang menjerumuskan hamba dalam perangkap syaitan sebagaimana disebut sebuah hadith:

الْأَنَاةُ مِنْ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنْ الشَّيْطَانِ
Sifat tenang itu berpunca dari Allah (disukai), manakala sifat kalut (gopoh) berpunca daripada hasutan syaitanSunan al-Tirmidhi, hadith ini dinilai lemah ringan oleh para ulama’ hadith kerana kelemahan ingatan seorang perawinya

#3- Ketenangan Luar Biasa Rasulullah S.A.W Dan Para Sahabat Ketika Perjanjian Hudaybiyah

Allah telah memberikan ketenangan umat Islam ketika berhadapan sikap kurang ajar wakil Musyrikin Quraysh dalam peristiwa perjanjian Hudaybiyah:

إِذْ جَعَلَ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَلْزَمَهُمْ كَلِمَةَ التَّقْوَى وَكَانُوا أَحَقَّ بِهَا وَأَهْلَهَا وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah turunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada “Kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang yang sangat berhak dengan “kalimah Taqwa” itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu Surah al-Fath 48:26

Dalam peristiwa Hudaybiyah pada tahun ke 6 Hijri, umat Islam pada awalnya berhasrat masuk ke Mekah untuk menunaikan umrah, namun mereka dihalang di Hudaybiyah.

Sikap wakil Quraysh yang berunding dengan Rasulullah S.A.W sangat provokatif dan kurang ajar. Jika bukan kerana sifat tenang Rasulullah dan para sahabat, perang sudah pasti tercetus.

Pada awalnya perjanjian Hudaybiyah kelihatan merugikan umat Islam sehingga menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati sesetengah sahabat, namun ketenangan dan kebijaksanaan Rasulullah S.A.W menerima beberapa syarat perjanjian menjadi sebab kemenangan besar pada kemudian hari untuk Islam.

Contohnya, dalam peristiwa Hudaybiyah umat Islam yang menyertai Rasulullah SAW ke Mekah cuma 1400 orang sahabat.

Selepas pihak Musyrikin Mekah melanggar syarat perjanjian, Rasulullah menggempur dan membuka kota Mekah pada tahun ke 8 Hijri dengan 10 ribu orang tentera. Dalam masa hampir 3 tahun sahaja jumlah umat Islam bertambah berlipat kali ganda. Ini antara “buah berzat” dan “testimoni saintifik” daripada sikap tenang.

Pengajaran penting untuk umat Islam Malaysia dalam topik ini adalah, kita perlu sentiasa tenang. Jiwailah ajaran Islam dan jangan terlalu gopoh bertindak ketika menangani sebarang isu yang melanda.

Keamanan Malaysia yang sudah sekian lama kita ni’mati usah dicalar balar dengan kegopohan. Tidak berbaloi jika ia hilang kerana sikap gopoh sesetengah warga.

Kalut lagi gopoh bertindak tanpa neraca fikir yang waras boleh memangsakan orang yang tidak bersalah. Biarlah dikata lembab bertindak berbanding dilihat gagah melibas kata atau menghayun senjata tapi menjadi sesalan tak sudah kemudian hari. Hadam betul-betul kepentingan bersikap tenang kerana tenang itu menang!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami