Gaya Hidup

6 Peringatan Penting Buat Anda Yang Mula Menjaga Kesihatan

Oleh Natirah Azira  •  22 Nov 2019  •  3 min baca

Semakin bertambah usia, semakin berubah kemampuan badan seseorang manusia. Stamina berkurang, badan cepat letih dan sebagainya. Malah mengikut satu kajian yang dilakukan ke atas 3,305 orang sukarelawan yang bermain suatu permainan, dan kemampuan kognitif diuji, menunjukkan hasil (sekalipun kecil) bahawa penurunan kemampuan kemahiran kognitif mula menurun bermula usia 24 tahun.

Hal ini boleh diatasi dengan memastikan badan kekal aktif dan menjaga pemakanan dengan baik. Bagi anda yang ingin mula menjaga kesihatan, enam peringatan di bawah ini untuk anda:

#1- Mulakan Dengan Target Yang Realistik

Usah meletakkkan target yang terlalu besar pada peringkat permulaan. Jika anda ingin mula bersenam, mulakan dengan senaman yang mudah namun berterusan dan dilakukan setiap minggu.

Jika anda ingin menurunkan berat badan, mulakan dengan target yang sedikit iaitu 2-3 kilogram pada bulan pertama. Barulah target itu ditambah sedikit demi sedikit. Jika anda baru berjinak-jinak dengan aktiviti larian, maka mulakan dengan 1-2 kilometer terlebih dahulu.

Para pengkaji mendapati bahawa orang yang berjaya menurunkan berat badan secara drastik cenderung untuk berhenti dari program penurunan berat badan dalam tempoh 6-12 bulan.

#2- Cari Rakan Yang Boleh Bersama-sama Berusaha Menjaga Kesihatan Dengan Anda

Lebih mudah untuk memulakan sesuatu apabila hal tersebut dilakukan dengan rakan. Cari rakan yang boleh sama-sama memberi semangat kepada anda ketika perasaan malas mula datang. Selain itu, anda juga akan lebih bersemangat sekalipun sesekali rasa ‘terpaksa’ menyerang.

#3- Fikirkan Tentang Hal Yang Dapat Memotivasikan Anda

Setiap orang mempunyai motivasi yang berbeza yang membuatkan mereka lebih bersemangat untuk menjaga kesihatan. Cari alasan yang kuat sebagai faktor penolak untuk anda meneruskan usaha tersebut, contohnya untuk mengelakkan diri daripada penyakit, untuk mengelakkan badan daripada cepat penat, untuk menguatkan stamina supaya dapat melayan anak-anak dan sebagainya.

Pastikan sebab tersebut terperinci dan penting bagi diri anda.

#4- Bersenam Dan Tukar Cara Pemakanan Dalam Masa Yang Sama

Langkah yang diambil dengan mula bersenam adalah langkah yang cukup baik pada peringkat permulaan. Namun, hal ini tidak dapat memberi impak yang positif jika gaya pemakanan masih tidak sihat. Bersenam tetapi masih makan makanan segera. Joging tetapi masih minum minuman manis secara berlebihan.

Maka, penting untuk bersenam dan tukar cara pemakanan dalam masa yang sama supaya segalanya seiring. Badan juga dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang sedang anda lakukan.

#5- Usah Bandingkan Diri Dengan Rakan

Anda mungkin mempunyai rakan-rakan yang sudah aktif dan suka melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti berlari, memanjat gunung dan melakukan aktiviti lasak. Usah bandingkan usaha yang anda lakukan dengan rakan tersebut. Mereka mungkin boleh menjadi pembakar semangat untuk anda berusaha lebih lagi namun usah membandingkan secara keterlaluan.

#6- Sedari Bahawa Perubahan Mengambil Masa

Apa jua perubahan yang anda lakukan mengambil masa lebih-lebih lagi jika ia bukan suatu tabiat kebiasaan selama ini. Beri ruang dan masa buat diri untuk membiasakan diri dengan rutin baru.

Kesimpulan

Tidak ada istilah terlewat buat sesiapa sahaja yang ingin membuat perubahan serta menjadi lebih prihatin dengan kesihatan diri. Tubuh badan adalah nikmat yang seringkali diabaikan kerana kita berfikir bahawa ia adalah milik kita sendiri. Namun ia adalah pinjaman daripada Tuhan yang diberikan untuk memudahkan kita melakukan hal-hal yang diperintahkan dalam kehidupan ini.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami