Penulis teringat akan pesanan yang pernah disampaikan oleh seorang ustazah sewaktu zaman persekolahan – “Pastikan setiap hari sebelum menutup mata, ucapkan terima kasih kepada orang tua anda.”
Terima kasih kerana sudah mengejutkan anda hari ini untuk solat Subuh. Terima kasih kerana sudah menghantar anda ke sekolah hari ini. Terima kasih kerana memasak makan malam kepada anda hari ini.
“Terima kasih kerana sudah menyayangi saya hari ini dengan perasaan yang tidak pernah berbelah bahagi dan sentiasa sabar dengan kerenah anakmu ini.”
Semakin meningkat dewasa, mungkin hubungan kita dengan ibu bapa semakin menjauh. Ada yang belajar jauh dari kampung halaman atau selepas berkahwin, sudah membina hidup sendiri dengan keluarga baru.
Disebabkan kekangan ini, masa bersama ibu bapa juga semakin singkat, semakin sukar untuk berhubung walaupun kita berada di ambang moden dengan pelbagai kemudahan teknologi di depan mata.
Namun, disebabkan kesibukan yang melanda atau banyak komitmen lain yang lebih diutamakan, maka masa untuk berhubung dengan orang tua semakin menjauh.
Baru-baru ini juga, salah seorang rakan saya meluahkan perasaan yang terpendam di hatinya – “Jarang-jarang aku ucapkan terima kasih, tetapi saat aku sarungkan jubah konvokesyen kepada abahku sambil mengucapkan terima kasih, aku melihat air matanya berlinangan.”
Tanpa sedar, beliau sendiri yang menitiskan air mata. Katanya, semakin kita meningkat dewasa, semakin mereka dimamah usia. Tidak salah malah tidak rugi pun untuk anak-anak mengucapkan terima kasih setiap hari kepada mereka.
Jasa dan pengorbanan orang tua ini sangat besar, sukar dibalas dengan harta benda dan wang ringgit. Tunjukkan sedikit kasih sayang dan perhatian terhadap mereka, salah satunya dengan ungkapan terima kasih.
Pentingkah ucapan terima kasih? Cuba duduk dan fikir sejenak – apa perasaan anda apabila menerima ucapan terima kasih daripada seseorang yang telah anda lemparkan bantuan?
Walaupun anda tidak mengharapkan balasan atau ganjaran, namun apabila mendengar ucapan terima kasih, hati anda pasti merasa gembira dan puas dengan apa yang dilakukan, bukan?
Begitu juga dengan orang tua. Mereka adalah manusia persis anda. Setidaknya, hubungi mereka untuk bertanya khabar dan ucaplah terima kasih kerana hari ini sudah mendoakan kelancaran hidup anda.
Doa orang tua itu adalah suatu nikmat yang perlu dihargai selama anda masih mempunyainya. Buat anda yang sudah tiada, balaslah jasa mereka dengan mengirimkan Al-Fatihah dan doa sebagai tanda terima kasih kepada mereka.
Semoga doa kita diangkat dan diterima sebagai doa yang sentiasa mengalir pahalanya buat mereka.
Wallahu a’alam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.