Site icon Tazkirah

Kamerakah Ini?

Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang bertanya, tercengang apabila saya katakan ini adalah gambar sebuah kamera.

Dia tidak yakin dengan penerangan dan jawapan saya kerana seumur hidupnya kamera yang dilihat dan digunakan ayah dan ibunya malah digunakan oleh semua orang di sekelilingnya tidak kelihatan sebegini.

Mana mungkin ini sebuah kamera. Generasi Alpha, iaitu kanak-kanak yang lahir bermula dari tahun 2010 adalah generasi yang melalui zaman transformasi dan perkembangan teknologi yang begitu pesat.

Amalan dan budaya masyarakat juga berubah disebabkan oleh perkembangan teknologi ini. Generasi Alpha ini adalah generasi ‘digital natives’ ataupun ‘orang asal zaman digital’ yang sangat mahir tentang selok-belok dunia dan peranti digital.

Mereka berbeza daripada generasi ‘baby boomers’ iaitu generasi moyang mereka, berbeza dari generasi X iaitu generasi datuk nenek mereka dan berbeza dari generasi Y iaitu generasi ibu bapa mereka.

Generasi baby boomers, X dan Y dikenali sebagai ‘digital immigrant’ ataupun ‘pendatang zaman digital’. Generasi ini mengambil masa untuk memahami dan menggunakan teknologi digital yang ada sekarang.

Apabila kita mengajar kanak-kanak Generasi Alpha ini, bahan pengajaran perlulah bersesuaian dengan zaman mereka.

Pembelajaran menjadi sesuatu yang bermakna bagi kanak-kanak apabila konten yang dipersembahkan ‘makes logical sense’ kepada mereka dan mengandungi maklumat dan nilai yang sesuai dengan amalan dan sosio budaya setempat pada masa ini.

Hanya apabila pembelajaran menjadi bermakna (meaningful) maka kanak-kanak akan berminat untuk mengetahui dan belajar dengan lebih mendalam tentang sesuatu.

Baru-baru ini seorang ibu menceritakan kepada saya tentang ujian kemasukan ke sekolah rendah yang diduduki oleh anaknya yang berusia 6 tahun.

Apabila ditanya apakah yang dilakukan jika hujan turun ketika hendak ke sekolah, jawapan yang diberikan oleh anak tersebut adalah kita mesti menaiki kereta.

Walaupun ‘skema jawapan’ adalah mengambil payung jika hujan tetapi guru yang mengendalikan ujian kemasukan menerima jawapan anak yang tidak mengikut skema itu.

Ini kerana bagi anak-anak zaman sekarang, walau hujan atau pun panas, mereka akan terus masuk ke dalam kereta apabila keluar rumah untuk ke sekolah.

Mereka tidak perlu mengambil payung. Bukankah begitu realiti kehidupan yang dilalui anak-anak zaman sekarang?

Didiklah anak mengikut zaman di mana dia dibesarkan, bukan ikut zaman dan maklumat ketika datuk, nenek, ayah dan ibu membesar dahulu.

Biarkanlah anak usia awal ini bermain dan meneroka persekitaran untuk memahami zaman mereka.

Exit mobile version