Oleh Saifuddin Hamizan • 11 Nov 2019 • 5 min baca
Saya teringatkan sebuah lirik lagu yang bertajuk “Bawa Aku Pergi” yang dinyanyikan oleh Zizan Razak dan Kaka pada tahun 2013. Lagu ini mengisahkan tentang kehidupan seorang anak muda remaja yang dambakan kehidupan fantasi dan ingin mengajak teman lelakinya lari keluar dari dunianya yang mungkin kelam dan menyedihkan. Liriknya seperti ini:
Oh, buku merah jangan lupa bawa (passport)
moga-moga belum tamat tempoh
kali ini kita pergi lebih lama
pergi lebih jauh, ayuh
Bawa aku pergi
pacu laju-laju
kita lari dari realiti
bawa aku pergi
pacu laju lagi
malah kita
tak perlu kembali
Lari keluar mengembara ke seluruh pelusuk dunia, mengamati permandangan indah dan menimba pengalaman baru memang idaman semua orang terutama muda mudi yang masih panjang usianya dan kuat kudratnya. Apatah lagi sekarang kita hidup dalam generasi baru yang di istilahkan oleh Simon Sinek sebagai generasi Z atau Milennial.
Generasi Milennial secara umumnya berorientasikan kepada kebebasan hidup, merantau, pergi kemana sahaja yang mereka suka. Media sosial pun turut menyumbang kepada gejala memaparkan sisi kehidupan siapa yang lebih gembira, tenang dan bebas. Semakin banyak kita muat naik ke dalam media sosial kita akan berasa lebih puas.
Sudah banyak kajian saintifik yang diterbitkan yang menunjukkan bahawa media sosial banyak menyumbang ke arah peningkatan depresi dan anxiety (murung dan bimbang) kerana setiap hari kita terkesan dengan perbandingan hidup kita dengan ramai orang. Kalau kawan kita di media sosial ada lima ribu pengikut, kita terpaksa bandingkan kehidupan kita secara tak langsung dengan sejumlah lima ribu pengikut itu.
Seperti kita tahu capaian media sosial telah di programkan oleh penganalisis mereka untuk selari dengan minat kita. Bagaimana? Menerusi fungsi carian yang kita taip malah suara kita pun dirakamkan oleh syarikat besar ini tanpa kita sedar.
Kalau seseorang itu banyak mencari bahan ilmiah mungkin tidak begitu terkesan dengan budaya perbandingan yang tak sihat, akan tetapi bagaimana dengan anak muda yang seluruh hidupnya berorientasikan kepada hiburan.
Tentulah kesannya lama-kelamaan dirasai oleh mereka dek lambakan informasi berkaitan minatnya setiap hari terpapar secara automatik. Di negara Kanada kini syarikat Facebook sedang membuat tempoh percubaan untuk menghilangkan fungsi melihat jumlah “like” dan “viewer” pada akaun milik orang lain.
Google Youtube pula menghadkan dari memaparkan pelanggan (subscriber) dalam jumlah yang tepat. Dikatakan langkah ini diambil sebagai satu usaha untuk mengurangkan risiko penyakit mental yang semakin membimbangkan.
Kita sedia maklum bahawa para ahli psikologi dan saintis telah pun mengkaji secara dalam berkenaan implikasi penggunaan internet pada anak muda generasi Z yang semakin lama meningkatkan kadar sakit mental.
Perbandingan jumlah Like dan Viewer sedikit sebanyak akan merancakkan lagi perasaan untuk terikut-ikut dengan trend seperti melancong, kahwin, belajar sampai Phd, ada anak dan sebagainya. Seboleh-bolehnya semua yang orang buat kita hendak penuhkan dalam hidup kita secara segera dan serentak.
Kita bimbang bila bertemu kawan dan sahabat handai kita tertinggal salah satu dari apa yang orang lain sedang miliki. Kita rasa seronok dengan benda itu walhal kita sedia maklum yang manusia akan paparkan sisi baik-baik sahaja. Sejuta kisah duka disebalik layar kehidupan tentulah disorok dengan rapi.
Contoh mudah, kita selalu terkejut apabila dikejutkan dengan berita perpisahan dikalangan artis, selebriti dan orang yang umumnya kelihatan bahagia. Kita lihat bagaimana Elvis Presley meninggal dunia, bagaimana Chester Benington meninggal dunia, bagaimana Sully meninggal dunia, bagaimana The Rev Mike drummer Avenged Sevenfold meninggal dunia?
Kita nampak akaun sosial media mereka dipenuhi dengan peminat yang ramai, lagu digilai ramai, harta yang banyak dan menimbun. Saya rasa kalau berjimat cermat boleh hidup sampai tujuh keturunan tanpa bekerja macam orang biasa. Sebab keindahan yang kita tonton itu tidak seperti yang kita bayangkan pun.
Firman Allah SWT:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;
(semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai;
dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah al-Hadid 57:20)
Dr Wahbah al-Zuhaili ketika mentafsirkan ayat ini beliau berkata:
“Sesungguhnya maksud yang utama dan pokok dari ayat ini adalah menegaskan akan hinanya dunia dan agungnya keadaan akhirat. Oleh kerana itu, Allah SWT menerangkan dunia dengan lima sifat atau spesifikasi, iaitu:
Pertama, dunia adalah permainan. Ini adalah tipikal bagi anak-anak yang sangat suka bermain sehingga letih dan menghabiskan tenaga mereka sedemikian rupa, dan kemudiannya hal itu berakhir tanpa ada sebarang faedah dan tenaga mereka terbuang sia-sia.
Kedua, dunia adalah hiburan dan huru-hara belaka. Ini adalah tipikal anak-anak muda, yang biasanya tidak memberika sesuatu melainkan penyesalan.
Ketiga, dunia adalah perhiasan. Ini adalah tipikal kaum perempuan, yang tujuan utamanya adalah menutupi kekurangan.
Keempat, saling membangga-banggakan diri dengan hal-hal yang fana, adakalanya dengan nasab, kemampuan dan potensi material, kekuatan fizik, dan lain-lain.
Kelima, dunia adalah tempat untuk saling bersaing dalam banyaknya harta dan anak. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/353)
Bersambung.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.