Site icon Tazkirah

Menyambut Maulidur Rasul Dengan Mengikut Ajaran Rasulullah

Sambutan Maulidur Rasul baru sahaja berlalu pada tanggal 12 Rabiulawal yang lepas. Ia dianggap tarikh yang sangat istimewa dalam dunia Islam. Ada pihak yang meraikannya dengan mengadakan perarakan, solat hajat dan juga majlis makan amal.

Maulidur Rasul atau ulang tahun kelahiran Nabi SAW mula disambut dengan meriah pada zaman pemerintahan zaman Raja Al-Muzaffar. Ia disambut sebagai tarikh untuk memperingati kelahiran Nabi SAW dalam masa yang sama mengajak umat Islam untuk banyak berselawat kepada baginda.

Sambutan Maulidur Rasul Bukan Hanya Ritual

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sambutan Maulidur Rasul seharusnya tidak disambut sebagai ritual tahunan sahaja tanpa roh yang sebenar. Semangat yang lebih perlu diselami adalah bagaimana untuk menghidupkan dan mempraktikkan apa yang telah diajarkan dan ditinggalkan oleh baginda sepanjang perjuangan baginda.

Mesej yang dibawa dan dipasakkan oleh Rasulullah SAW dalam hati setiap mukmin ketika fasa awal penyebaran Islam ialah mesej tentang aqidah – tentang kepercayaan kepada Tuhan, tentang kekuasaan Allah dalam mentadbir setiap urusan hambanya. Kehidupan di dunia adalah sementara dan adanya Allah untuk mengadili setiap perbuatan manusia secara saksama di akhirat kelak.

Itulah kepercayaan yang menjadi tunjang kepada kekuatan mukmin sehingga kemudian hari. Mereka bersama-sama Rasulullah SAW mendokong dan membawa ajaran Islam sehingga tersebar ke serata dunia, melewati batasan benua, laut bahkan batas masa dan zaman.

Rasulullah SAW Hadir Untuk Menyelamatkan Manusia

Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi orang yang kerugian di akhirat kelak, daripada terjerumus ke dalam azab api neraka.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَ آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari – no.6483, HR Muslim – no.2284 – Status Hadis Sahih)

Imam An-Nawawi mengulas bahawa hadis ini membawa maksud Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya menzalimi diri sendiri dan melemparkan diri ke dalam neraka.

Mereka diibaratkan seperti kelekatu yang tertarik kepada cahaya tanpa dapat membezakan sama ada cahaya api itu membahayakannya atau tidak. Lalu untuk menyelamatkan mereka, Rasulullah SAW hadir untuk memandu dan menghalang mereka daripada terjatuh ke lembah kehancuran.

Seringkali kita terkeliru dalam menilai apa yang baik buat diri lebih-lebih lagi dalam hal dunia yang sering berubah-ubah dan bersifat menggoda. Ada sahaja perkara yang mampu menarik kita kepada dosa dan hal yang bertentangan dengan apa yang telah diperintah oleh Allah SWT.

Hargailah legasi yang telah ditinggalkan oleh baginda berupa Al-Quran dan hadis, serta para ilmuwan yang benar-benar mengikut dan mengamalkan ajaran Islam dengan betul.

Usah jadi seperti kelekatu yang terpesona dengan cahaya (dunia) sehingga sanggup membahayakan diri sendiri dengan mendekati api – dek kerana mereka tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia.

“Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah)”

Exit mobile version