Site icon Tazkirah

Betulkah Umur Khadijah Ketika Berkahwin Dengan Rasulullah SAW Adalah 40 Tahun

Khadijah binti Khuwailid adalah isteri pertama kepada insan teragung iaitu Muhammad SAW. Beliau adalah wanita yang ada bersama Nabi SAW saat baginda pertama kali mendapat utusan menjadi seorang Rasul. Beliau juga adalah wanita pertama yang membenarkan mesej ketuhanan yang disampaikan, serta berada di sisi nabi saat nabi dikecam, diserang dan dakwahnya ditolak.

Setianya juga Nabi SAW sehingga tidak pernah berkahwin selama Saidatina Khadijah masih hidup.

Latar Belakang Khadijah

Saidatina Khadijah merupakan seorang wanita terhormat yang juga berasal dari suku Quraisy. Beliau sebelum itu telah berkahwin sebanyak dua kali. Suaminya yang pertama bernama Abu Halah Hind bin Banash Bin Zararah. Daripada perkahwinan pertama ini, beliau mendapat seorang anak lelaki bernama Hind dan seorang anak perempuan yang dinamakan Halah.

Setelah suaminya meninggal, beliau bertemu jodoh pula dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripada perkahwinan kedua pula, beliau mendapat seorang lagi anak. Dikhabarkan hasil daripada kedua-dua perkahwinan tersebut, Saidatina Khadijah telah mempunyai tiga orang anak.

Kemudian, ditakdirkan pula Saidatina Khadijah bertemu jodoh dengan Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi melakukan urusan perniagaan di bawah kelolaan beliau. Menurut khabar yang kita dengar sejak dahulu, usia Nabi SAW ketika pernikahan tersebut ialah 25 tahun sedangkan Khadijah berusia 40 tahun.

Para pengkaji yang membuat kiraan berdasarkan tahun, serta bilangan anak hasil perkahwinan antara Saidatina Khadijah dan Rasulullah SAW menyanggah pendapat tersebut. Jika dibincangkan daripada sudut biologi badan seorang wanita pula, apabila menjengah usia 40 ke atas, wanita sudah kurang poduktif untuk mendapatkan anak. Maka di sini timbul persoalan, adakah benar usia Khadijah ketika itu 40 tahun seperti yang masyhur tersebar.

Mari kita teliti pendapat-pendapat yang ada.

Beberapa Pendapat Tentang Usia Saidatina Khadijah Ketika Berkahwin Dengan Rasulullah SAW

Pendapat Bahawa Khadijah Berusia 40 Tahun

Pendapat ini sebenarnya berasal daripada riwayat Ibnu Sa’d dalam At-Thabaqat Al-Kubro, dari Al-Waqidi. Ia berbunyi seperti berikut:

“Rasulullah SAW menikahinya (Khadijah) ketika beliau berusia 25 tahun, sementara Khadijah berusia 40 tahun.” (Thabaqat Ibn Sa’d, 1/132)
Sedangkan para perawi memberi hujah bahawa Al-Waqidi merupakan perawi yang matruk (ditolak hadisnya).

Pendapat Bahawa Khadijah Berusia 28 Tahun

Pendapat kedua ini pula diambil daripada Al-Hakim yang meriwayatkannya daripada Muhammad Ibnu Ishaq yang merupakan seorang ahli sejarah.

وكان لها يوم تزوجها ثمان وعشرون سنة

“Pada hari pernikahannya (Khadijah), beliau berusia 28 tahun.” (Al-Mustadrak Al-Hakim, 11/157)

Namun, Ibnu Ishaq tidak menyatakan sanad berita ini.

Pendapat Bahawa Khadijah Berusia 25 Tahun Atau 35 Tahun

Dua pendapat ini pula dinukil di dalam Kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah (2/295) sebagaimana berikut:

Ibnu Katsir mengatakan,

“…demikianlah dinukil oleh Al-Baihaqi dari Al-Hakim bahawa usia Rasulullah SAW ketika menikah dengan Khadijah adalah 25 tahun, sedangkan usia Khadijah ketika itu adalah 35 tahun, ada juga yang mengatakan, 25 tahun…”

Kesimpulan

Justeru, menerusi maklumat yang dikemukakan ini, dapat kita ketahui pendapat-pendapat yang berbeza berkenaan usia Saidatina Khadijah. Namun, hal ini tidak perlu diperdebatkan secara melampau sehingga mencetuskan perselisihan faham. Wallahu’alam.

Exit mobile version