Keluarga

Anak-Anak Anda Perlukan Kebebasan Atau Peraturan Di Rumah

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  2 Nov 2019  •  4 min baca

“Ada peraturan atau tidak di rumah?”

Inilah soalan yang sering saya tanya apabila ada ibu bapa yang meminta pandangan tentang anak yang sukar dikawal.

Ada ibu bapa yang mengangguk dan ada yang menggeleng apabila ditanya. Mungkin peraturan itu bunyinya keras dan menghukum, jadi ada ibu bapa yang kurang selesa mengadakan peraturan.

Ada yang takut peraturan akan mematikan semangat dan membunuh kreativiti dan sifat meneroka pada kanak-kanak.

Tambahan lagi di sekolah sudah banyak peraturan, guru pula ramai yang garang, jadi ramai yang merasakan anak-anak perlu diberi kebebasan mutlak di rumah supaya mereka lebih ‘chill’ dan ‘relax’.

Bagi yang tidak banyak masa untuk diluangkan dengan anak pula, mereka lebih suka gaya keibubapaan yang permisif tanpa peraturan kerana ingin mengelakkan konflik dengan anak.
Takut anak sentap. Takut anak merajuk. Takut anak berkecil hati. Jika ‘peraturan’ dikaitkan dengan hukuman, kemarahan, kritikan, dan konflik, maka peraturan itu akan dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

“Parenting is not to decide what to do when children step outside the boundary. Parenting is to guide children on how to live within the boundary.”

Anak-anak memerlukan had dan batasan untuk memastikan mereka ‘safe and secure’ untuk terus meneroka dan mencapai potensi diri.

Tanpa had dan batasan – peraturan – mereka akan membuang masa tercari-cari ruang yang selamat kerana persekitaran mereka tidak dapat dijangka (unpredictable).

Perasaan ‘safe and secure’ ini penting untuk proses pembelajaran dan latihan untuk menghadapi kehidupan bermasyarakat.

Bagaimana Membina Peraturan Di Rumah?

Faktor yang paling penting yang perlu ada untuk menggubal peraturan dalam rumah adalah kerjasama antara kedua ibu bapa.

Langkah pertama untuk menggubal peraturan adalah kedua ibu bapa perlu duduk berbincang tentang aspek yang memerlukan peraturan di rumah.

Seeloknya peraturan itu digubal sebelum sesuatu masalah timbul. Oleh itu ibu bapa perlu peka akan perkembangan anak, persekitaran anak dan pengaruh dalam hidup anak.

Adakah perlu peraturan berkaitan penggunaaan teknologi?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu tidur?
Adakah perlu peraturan berkaitan kerja sekolah?
Adakah perlu peraturan berkaitan rutin seharian?
Adakah perlu peraturan berkaitan menonton tv?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu makan?

Setiap keluarga mempunyai masalah dan cabarannya yang tersendiri, oleh itu terserah kepada ibu bapa untuk menentukan aspek dalam keluarga yang memerlukan peraturan.

Nilai dalam setiap keluarga adalah berbeza-beza. Jika satu hari nanti anak bertanya;

“Kenapa di rumah kawan boleh, di rumah kita tidak boleh?”

Terangkan kepada anak kenapa ‘keluarga kita’ memerlukan peraturan tersebut. Terangkan tentang nilai keluarga kita.

Contohnya sebelum memberi keizinan untuk anak menggunakan internet, ibu bapa perlu tetapkan ;

#1- Bilakah penggunaan internet dibenarkan?
#2- Berapa lamakah ia boleh digunakan?
#3- Bagi tujuan apakah internet itu boleh digunakan?

Jika anak mengikut peraturan untuk sesuatu jangkamasa apakah ganjaran yang akan diberikan – ganjaran tidak semestinya bersifat material. Jika melanggar peraturan, apakah akibat (consequence) terhadap yang melanggar peraturan?

Semua ini perlu ditetapkan terlebih dahulu. Selepas berbincang, ibubapa perlu menyampaikan kepada anak apakah peraturan tersebut dan kenapakah ahli keluarga memerlukan peraturan tersebut.

Ada juga peraturan yang fleksibel mengikut tahap perkembangan atau usia anak. Contohnya anak yang bersekolah menengah boleh tidur lewat kerana banyak ulangkaji atau kerja sekolah yag perlu disiapkan.

Anak pra sekolah tidak ada kerja sekolah (sepatutnyalah) maka perlu tidur awal supaya anak tidak membuang masa dengan gajet atau menonton TV sahaja.

“Rumah saya ada peraturan tetapi anak tidak ikut.kenapa?”

Anak tidak ikut peraturan kerana

#1- Ibu Bapa Tidak Konsisten

Peraturan hanyalah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Anak tahu ibu bapa tidak serius. Jika ibu bapa tidak serius tentang nilai, anak-anak juga tidak peduli tentang nilai dan peraturan.

Kita perlu konsisten sehinggalah amalan menjadi tabiat dan tabiat kemudiannya menjadi nilai yang dibawa sampai bila-bila.

#2- Ibu Bapa Tidak Memberikan ‘Reward’

Apabila anak ikut peraturan, tidak ada apa-apa respon daripada ibu bapa. Tiada pengakuan, tiada senyuman, tiada pujian, tiada ganjaran.
Anak menjadi malas dan bosan.

Ibu Bapa Tidak Memberikan Hukuman

Apabila anak tidak ikut, tidak ada apa-apa respon daripada ibu bapa.
Tiada ‘consequence’, tiada implikasi kerana tidak ikut peraturan.
Anak tidak hairan.
Peraturan akhirnya hanyalah satu hiasan yang ‘nice to have’ sahaja. Apabila anak biasa hidup dalam nilai dan peraturan yang ditetapkan di rumah, anak juga akan mengamalkan nilai dan peraturan dalam masyarakat. Insya Allah.

Bukankah kita ingin melihat masyarakat yang lebih bertamadun?
Mulakanlah dari rumah. Apakah aspek yang memerlukan peraturan di rumah anda? Fikirkanlah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami