Ibadah

Istikharah – Cara Memohon Petunjuk Pada Musim Peperiksaan

Oleh Fizah Lee  •  1 Nov 2019  •  3 min baca

Istikharah berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Ia merupakan sunnah Rasulullah SAW sebelum membuat sesuatu keputusan.

Melalui Kitab Fathul Bari, Al-Hafizh Ibnu Hajar menjelaskan bahawa istikharah adalah meminta pilihan kepadaNya, iaitu antara dua perkara. Ia merupakan ibadah yang disyariatkan sebelum membuat sesuatu pilihan.

Solat istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang diharamkan solat dengan dua rakaat dan tanpa apa-apa syarat khusus yang lain.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الِاسْتِخَارَةَ فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ يَقُولُ

Maksud: “Dahulu Rasulullah SAW pernah mengajar kami istikharah untuk memutuskan sesuatu, (sebagaimana yang diajar di dalam Al-Quran).

Selepas menunaikan istikharah, disarankan untuk membaca doa istikharah seperti doa yang telah dibaca oleh Baginda SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ ‭(sebutkan urusan)‬ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ

Maksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjukMu dalam pengetahuanMu, aku meminta kekuatanMu dengan kemampuanMu dan aku mengharapkan daripada kurniaMu yang Agung. Maka, sesungguhnya Engkau mampu dan aku tidak mampu, Engkau tahu dan aku tidak tahu dan Engkau Maha Mengetahui segala perkara ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini (Sebutkan urusan) baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan natijah urusanku, maka mampukanlah ia bagiku dan permudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah padanya bagiku. Dan jika Engkau tahu bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan natijah urusanku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Takdirkanlah kebaikan padaku, di mana-mana pun ia, kemudian redakanlah aku kepadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1162)

Adakah Istikharah Hanya Untuk Pemilihan Jodoh

Istikharah terkenal dalam masyarakat kita dengan mereka yang sedang memilih jodoh atau ingin mendapatkan keputusan yang baik sebelum membuat atau menerima sebarang lamaran.

Kebiasaannya, kita akan dimomokkan dengan jawapan istikharah yang akan muncul melalui mimpi. Namun, sebenarnya tiada dalil yang sahih mengenai dari mana datangnya jawapan tersebut.

Malah, menurut pandangan beberapa jumhur ulama’ yang mengatakan bahawa jawapan itu sebenarnya datang daripada ketenangan hati yang menunjukkan keredaan Allah kepadanya dan juga sokongan orang sekeliling.

Jawapan melalui mimpi itu merupakan bonus terhadap mereka yang mengalaminya. Namun, perlu dilihat jika ia merupakan mimpi yang baik atau tidak.

Sedarkah anda bahawa konsep istikharah itu lebih luas daripada pemilihan jodoh. Hal ini kerana, setiap perkara yang dilakukan dalam hidup ini memerlukan pilihan dan Baginda tidak mengkhususkan ia hanya kepada urusan jodoh.

Oleh itu, tidak menjadi kesalahan untuk mengamalkan istikharah walau untuk perihal yang kecil atau yang lebih besar seperti pada musim peperiksaan.

Selalunya, para pelajar disarankan untuk melakukan solat sunat hajat bagi memohon bantuan daripada Allah agar dipermudahkan urusan menjawab soalan.

Adalah lebih baik juga untuk menunaikan solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk kepada Allah untuk memilih atau menulis jawapan yang betul di atas kertas peperiksaan tersebut.

Malah, menurut golongan ilmuwan dan pandangan beberapa jumhur ulama’ juga menyebut bahawa, ia merupakan salah satu usaha dan doa kita kepada Allah untuk melakukan yang terbaik di dalam peperiksaan selepas bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran.

Walau bagaimanapun, jangan pula melakukannya di antara waktu menjawab peperiksaan, bimbang nanti tidak cukup pula waktu untuk menjawab peperiksaan.

Seeloknya solat ini ditunaikan sebelum peperiksaan bermula seperti pada waktu malam atau pada waktu rehat.

Kesimpulan

Sesuatu ibadah itu tidak boleh disempitkan hanya kepada perkara-perkara yang besar atau jelas seperti solat istikharah apabila membuat keputusan di antara dua wanita.

Sebaliknya, setiap perkara dalam dunia ini mempunyai pilihan yang perlu dilakukan dan secara tidak langsung solat sunnah ini boleh diamalkan.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami