Keluarga

Bagaimana Mendidik Anak Anda Dengan Cara Terbaik

Oleh Fizah Lee  •  30 Oct 2019  •  3 min baca

Anak-anak merupakan kain putih yang corakannya ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Menjadi ibu bapa bukanlah suatu jawatan yang mudah kerana tugas dan tanggungjawabnya adalah besar untuk diri sendiri dan keluarga.

Tanggungjawab yang paling besar ialah untuk mendidik dan membesarkan darah daging sendiri mengikut nilai murni dan ajaran Islam agar mereka membesar dengan penuh adab dan mampu menempa kejayaan.

Apabila dilihat kisah-kisah inspirasi mereka yang berjaya, salah satu faktornya adalah daripada hasil didikan ibu bapa yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka.

Jadi, bagaimana untuk meletakkan didikan yang terbaik kepada anak-anak agar suatu hari nanti mereka mampu membesar menjadi salah seorang khalifah yang berjaya bukan sahaja untuk anda, namun juga untuk ummah.

#1 – Pembelajaran Bermula Dari Awal Kandungan

Buat mereka yang mendapat khabar gembira bakal dikurniakan cahaya mata, pasti akan membuat persediaan dan penjagaan rapi untuk menjaga kandungan agar ia membesar dengan sihat dan baik.

Sedar atau tidak, didikan anak-anak itu sebenarnya juga bermula dari awal lagi, iaitu semasa proses kehamilan. Dalam tempoh ini, ibu dan bapa sendiri perlu bekerjasama untuk menjaga emosi kerana emosi ibu berkait rapat dengan kandungan.

Anda juga boleh membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan zikir untuk membantu tumbesaran otak mereka dengan lebih baik.

#2 – Disiplinkan Anak Mengikut Usia Mereka

Mungkin anda pernah mendengar mengenai tahap-tahap didikan yang betul mengikut ajaran Islam, iaitu;

#1 – Tahap pertama, iaitu pada umur 0-6 tahun – Ini adalah peringkat ibu bapa perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anak-anak kerana mereka masih di peringkat kanak-kanak yang perlukan kasih sayang dan didikan sepenuhnya.

Pada tahap inilah sesuai untuk diajarkan sepenuhnya kepada mereka kerana otak mereka mudah menyerap seperti span dan mampu dibentuk dengan mudah.

#2 – Tahap kedua, iaitu pada umur 7-12 tahun – Ia adalah usia yang betul dan tepat untuk mendisiplinkan anak dengan menyuruh mereka solat dan memberi sedikit hukuman ringan jika mereka meninggalkannya atau dengan mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Hal ini kerana, pada usia ini mereka sudah mula membesar dan terdedah dengan sekeliling. Oleh itu, sedikit demi sedikit ibu bapa perlu menerapkan disiplin dalam diri mereka.

#3 – Tahap ketiga, iaitu pada umur 13-21 tahun – Pada usia remaja ini, ibu bapa perlu menjadi kawan dan pendengar yang baik kepada anak-anak.

Dalam tempoh ini, mereka dikeliling oleh pelbagai jenis manusia dan akan melalui pelbagai jenis ujian sama ada mengenai pendidikan, persahabatan, kewangan dan sebagainya.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya menjadi pendengar yang baik untuk setiap permasalahan mereka agar anak-anak akan menjadi selesa dan percaya kepada ibu bapa sendiri.

#4 – Tahap keempat, iaitu pada umur 22 ke atas – Ibu bapa perlu meletakkan kepercayaan kepada anak-anak mereka dengan melepaskan mereka untuk membuat keputusan.

Jangan mengongkong tetapi dalam masa yang sama awasi anak anda. Cuba untuk memandu mereka agar mampu membuat keputusan dengan baik.

Kesimpulan

Ibu bapa merupakan kunci utama untuk anak-anak membesar dengan baik. Anak-anak pula akan menjadi harta dan tinggalan yang sangat berharga untuk bekalan akhirat nanti kerana doa mereka merupakan antara amalan yang tidak akan terputus.

Oleh itu, dalam usaha untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak, anda perlu sentiasa menerapkan nilai murni dan ajaran Islam agar mereka tidak tersasar dari landasan.

Rujukan:
Cara Betul Didik Anak


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami