Gaya Hidup

Apa Yang Boleh Dilakukan Ketika Anda Gembira

Oleh Fizah Lee  •  24 Oct 2019  •  3 min baca

Kerap kali kita mendengar tips atau cara yang boleh dilakukan untuk mengubat hati yang sedang berduka lara atau menangani tekanan dan sebagainya.

Apabila kita yang berada dalam situasi tersebut, kebiasaannya kita akan meminta nasihat atau pandangan daripada rakan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Namun, apabila sedang berada dalam situasi gembira atau keseronokan menimpa diri anda, apa yang akan anda lakukan?

Kebiasaannya, manusia akan cenderung untuk melayan perasaan gembira tersebut sehinggalah mood itu berlalu atau ditimpa dengan perkara lain.

Seringkali orang mengingatkan bahawa kesedihan itu hanya ujian, namun sedarkah anda bahawa kegembiraan itu juga ujian.

Ujian untuk Allah melihat sejauh mana kita mampu kembali kepadaNya apabila diberikan nikmat atau mungkin pada waktu tersebut kita akan jauh dan lalai dariNya.

Jadi, apa yang boleh dilakukan saat anda merasa seronok dengan ‘hadiah’ dari Allah tersebut?

#1 – Bersyukur KepadaNya

Zahirkan syukur dengan ucapan ٱلْـحَـمْـدُ للهِ‎ (Alhamdulillah) dan tetapkan dalam minda bahawa ia adalah kurnia dari Allah yang perlu disyukuri dan boleh ditarik kembali bila-bila masa.

Adalah lebih baik untuk melaksanakan sujud syukur kerana ia merupakan sunnah yang dilakukan apabila mendapat perkhabaran gembira.

Ia boleh dilakukan apabila berada di luar solat dengan beberapa syarat yang perlu diikuti seperti menghadap kiblat dan juga menutup aurat.

Dari sekecil-kecil perkara seperti lulus dalam peperiksaan atau sehingga kepada perkara yang paling besar, iaitu terselamat daripada kemalangan dan sebagainya, anda boleh zahirkannya dengan melakukan sujud syukur.

Allah menerima pujian tiap-tiap hambaNya walaupun ia kelihatan kecil pada kita, namun besar padaNya.

#2 – Ucapkan Terima Kasih

Ucapan terima kasih juga bukan hanya perlu dizahirkan kepada si Pemberi Rezeki dan Kebahagiaan ini, namun juga kepada mereka yang terlibat.

Ucapan terima kasih juga merupakan tanda kita bersyukur kepada Allah. Hal ini kerana, mereka juga merupakan antara asbab dan golongan yang telah Allah tetapkan untuk membantu perjalanan hidup kita.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksud: “Abu Hurairah RA berkata: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4177)

Jika anda lulus dalam peperiksaan, ucapkanlah terima kasih kepada para pensyarah yang telah bertungkus lumus membantu anda dan juga kepada kawan-kawan yang sudi meminjamkan nota kepada anda untuk diulang kaji.

#3 – Memberi Untuk Jalan Allah

Selalunya kita akan mendengar orang tua-tua berpesan untuk memperbanyakkan sedekah agar rezeki itu boleh datang kepada kita semua dalam bentuk yang tidak disangka.

Apa kata, kali ini kita ubah gaya hidup dengan memberi setiap kali anda menerima sesuatu seperti berasa gembira di atas nikmat yang dikurniakanNya.

Jika anda gembira dengan kenaikan gaji atau bonus yang telah diberikan oleh bos anda, gunakan peluang itu untuk belanja ibu bapa atau keluarga anda makan.

Jika anda gembira kerana teman wanita anda telah menerima lamaran anda, berikan sesuatu seperti makanan atau wang kepada mereka yang tidak dikenali yang anda temui di jalanan atau kaki lima.

Tidak salah malah ia adalah sifat yang murni dan perlu sentiasa diamalkan oleh setiap insan. Untuk memberi, anda memerlukan hati yang ikhlas dan mood yang baik, maka gunakan peluang sewaktu gembira ini untuk menambah pahala anda.

Kesimpulan

Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan saat anda gembira. Yang paling penting ialah, kembali kepada Tuhan dan jangan pernah lalai dengan nikmat yang diberikanNya.

Setiap sesuatu yang hadir kepada manusia hanyalah ujian sama ada untuk mendekatkan diri kepadaNya atau sebaliknya.

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang sentiasa ingat kepadaNya.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami