Setiap menantu pasti punya perasaan berdebar atau takut dengan keluarga mentua, sama ada baru berkahwin atau sudah lama di ambang perkahwinan.
Bukan mudah untuk meletakkan perasaan anda pada taraf normal kerana setiap ibu bapa pasti mempunyai ragamnya yang tersendiri, adakah orang tua akan meletakkan kepercayaan kepada anda dengan mudah atau sebaliknya.
Malah, banyak perkongsian di media sosial berkenaan dengan masalah menantu dan mentua yang menjadi-jadi sehinggakan wujudnya situasi keretakan rumah tangga.
Sebenarnya, ia merupakan perkara yang boleh dielakkan jika masing-masing tahu batas dan peranan sendiri dalam rumah tangga.
Mentua perlu menjadi tempat rujukan yang paling selesa kerana pengalaman mereka dalam mengharungi rumah tangga itu sudah lama.
Oleh itu, pengalaman tersebut perlu digunakan untuk membantu anak-anak anda mengukuhkan masjid tersebut agar kekal sehingga syurga.
Buat menantu pula, merendahkan diri itu adalah kunci utama. Walaupun anda ingin mengelola rumah tangga mengikut cara yang tersendiri, namun apabila pandangan atau sesuatu nasihat dilontarkan, maka adalah lebih baik untuk mendengarnya dengan hati yang terbuka.
Jadi, entri kali ini akan mengongsikan beberapa tips menarik buat anda yang ingin mengambil hati mentua agar ego mudah direndahkan dan rumah tangga tidak mudah goyah dek hubungan antara kalian yang kurang elok.
Lakukan homework terlebih dahulu mengenai ibu bapa pasangan anda. Apa yang disukainya, pantang larang yang ada dan sebagainya.
Setiap manusia pasti punya ragamnya yang tersendiri. Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk menghormatinya dan sama-sama meraikannya.
Sama situasi dengan anda yang menyukai anaknya, pasti anda akan mencuba untuk mengambil hatinya dengan mengetahui perkara yang disukainya dan menghindari diri daripada melakukan perkara yang dibenci.
Begitu juga dengan orang tuanya. Mereka itu ibu bapa kepada pasangan anda. Oleh itu, pastikan anda mengambil tahu mengenai mereka.
Ia bukanlah dengan tujuan untuk mengambil hati semata-mata, namun juga untuk mengambil berat. Sekurang-kurangnya anda sudah boleh mendapat idea untuk membawa makanan yang disukai ketika mereka sakit.
Menurut pandangan yang diberikan oleh Fatwa Shaikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin, Shaikh ‘Abdul Aziz bin Baz, Shaikh Abdullah bin Qu’ud dan Shaikh ‘Abdullah bin Ghudayan menyebut bahawa, tiada dalil yang khusus mengenai menantu yang perlu berkhidmat kepada mentua mereka.
Namun, menantu perlu melayani mentuanya dengan baik atas dasar ihsan selagi mana ia berada dalam batas kemampuannya.
Ibu bapa mereka juga perlu dihormati dan dimuliakan sama seperti kita menghormati ibu bapa kandung. Hal ini kerana, mereka yang telah melahirkan dan membesarkan pasangan anda, jadi mereka juga layak diberi hak sebagai ibu bapa sehingga ke akhirnya.
Apabila telah berumah tangga, yang paling penting ialah jangan pernah memutuskan atau menghalang pasangan anda daripada terus berhubung dengan ibu bapa mereka.
Ambil giliran untuk sama-sama melawat ibu bapa di kampung agar hubungan silaturahim itu setiasa terjalin. Apabila berkahwin, anda bukan sahaja berkahwin dengan pasangan anda, namun dengan seluruh ahli keluarganya.
Disebabkan itu, perkahwinan itu merupakan suatu perkara yang besar. Silaturahim yang terjalin itu perlu dijaga dengan baik.
Jika punya masalah dengan pasangan, pasti anda akan mencari rujukan untuk menyelesaikannya dengan cara yang terbaik.
Namun, tahukah anda, orang yang paling tepat untuk meminta nasihat adalah melalui mereka yang sudah berpengalaman, iaitu mentua anda sendiri.
Ini bukanlah bermaksud anda perlu menceritakan seratus peratus masalah kepada mereka. Tetapi cuba minta nasihat berdasarkan apa yang mereka boleh bantu.
Contohnya, bagaimana ingin menjadi isteri yang baik ketika suami sedang dilanda masalah atau bagaimana ingin membantu isteri yang sedang hamil dan sebagainya.
Mentua anda sedikit sebanyak dapat merasakan bahawa anda meletakkan kepercayaan penuh kepada mereka. Lama-kelamaan, mereka sendiri yang akan mempercayai anda untuk menjadi menantu yang baik dalam rumah tangga kalian.
Banyak lagi cara mudah yang boleh dilakukan untuk memikat hati mertua anda. Namun, ia perlu disesuaikan mengikut situasi.
Perkara yang paling penting ialah, letakkan sepenuh kebergantungan anda kepada Allah. Dia yang memegang hati hamaba-hambaNya. Oleh itu, setiap usaha itu akan berbalik kepadaNya.
اللَّـهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ
Mafhum: “Allah Maha Lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNYa; Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia lah yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah As-Shura, 42:19)
Rujukan:
Mana Lebih Utama; Ibu Atau Mentua
Ustaz Khalid Bassalamah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.