Gaya Hidup

3 Adab Meminta Izin Ketika Ziarah, Yang Selalu Diabaikan

Oleh Siti Asmaq Muhammad  •  16 Oct 2019  •  3 min baca

Setiap hari, setiap bulan, atau setiap tahun akan ada saat dan ketika untuk kita menziarahi jiran tetangga, sanak saudara, rakan dan taulan. Adakah kita sedar ada beberapa perkara yang mesti kita jaga semasa menziarahi mereka.

Antara perkara utama sebelum memasuki rumah mereka ialah yang pastinya meminta izin sebelum masuk ke dalam rumah. Mesti mendapat keizinan daripada tuan rumah sebelum memasukinya.

Andainya tidak dizinkan, kita mesti berlapang dada dan tidak boleh merasa kecewa kerana mungkin tuan rumah mempunyai masalah, tuan rumah sedang sibuk dan sebagainya.

“Wahai orang orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, agar kamu selalu ingat. Jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, maka janganlah masuk sebelum kamu mendapat izin. Surah An-Nur : 27

Antara adab meminta izin yang mesti dijaga ialah :

#1- Mengetuk Pintu Secara Perlahan Dan Memberi Salam

Sampai sahaja di rumah yang kita pergi, mulailah dengan mengetuk pintu dengan perlahan. Andainya di rumah terdapat loceng tekanlah sekali jangan ulang berkali-kali. Ini untuk memberi ruang kepada tuan rumah menyedari kedatangan kita.

Selepas itu, baru beli salam dan ingat, jawapan salam dari tuan rumah bukan menandakan boleh terus melangkah masuk namun semestinya meminta izin dengan bertanya dulu bolehkah kita masuk. Andainya diizinkan, masuklah dengan senyuman.

Jangan Berdiri Di Depan Pintu

Seandainya bertandang dan dilihat pintu terbuka luas jangan berdiri di depan pintu. Seeloknya berada di sebelah pintu. Ini untuk menjaga pandangan kita daripada meneroka setiap ruang rumah.

Lagipun rumah itu ialah tempat beristirehat, tempat tuan rumah membuka aurat, ruang privasi dan terdapat pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi tontonan orang ramai.

#3- Menjawab Dengan Jelas

Andainya ditanya daripada dalam rumah siapa yang berada di luar. Jawablah pertanyaan itu dengan jelas dengan menerangkan nama supaya tuan rumah tahu siapa yang berada di sebalik pintu.

Ini memudahkan tuan rumah untuk mengecam tetamu tersebut. Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Jabir, katanya:

‘Aku (Jabir) datang ke rumah Rasulullah maka aku ketuk pintu rumah Rasulullah S.A.W. Maka kata Rasulullah, “Ini siapa?” Aku (Jabir) menjawab, “Saya”. Maka kata Rasulullah, “Saya, Saya, Saya”, seolah-olahnya Rasulullah tidak suka dengan jawapan begitu.’

Itu antara 3 adab yang mesti diamalkan oleh kita kerana terdapat hikmah daripada adab yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Antaranya ialah :

Menjaga Pandangan

Di dalam rumah terdapat pelbagai perkara sehinggakan antara anak dan ibu bapa pun perlu meminta izin semata mata untuk menjaga pandangan. Kerana melalui pandangan ini akan meletakkan hati berada dalam keadaan baik ataupun tidak.

Menjaga Tatasusila

Orang Islam terkenal dengan kesopanan dan kesusilaan. Seandainya bertindak dengan penuh tertib tentu kita akan disenangi dan disayangi oleh orang sekeliling. Kita juga dapat menyebarkan kebaikan dalam seharian.

Kesimpulannya, setiap orang mempunyai rumah yang menjadi tempat untuk meraih ketenangan dan keredaan Allah. Menerima tetamu merupakan sebuah rahmat dari Allah untuk tuan rumah kerana tetamu membawa berkat dan membawa pergi berbagai bencana.

Semoga kita semua mampu amalkan adab dalam meminta izin ini supaya kita menyenangkan hati tuan rumah dan membawa keberkatan untuk seisi keluarga tuan rumah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Siti Asmaq Muhammad

Anak kelahiran Kelantan. Seorang guru di Pulau Pinang, yang mengharapkan anak didiknya menjadi insan yang berjaya dan mengimpikan setiap dari anak didiknya menjadi ejen kebaikan untuk semua orang.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami