Mungkin anda pernah mendengar tentang kelebihan tertentu yang akan diperoleh terhadap perbuatan memotong kuku pada hari-hari yang telah ditetapkan.
Contohnya, ada yang mengatakan, jika memotong kuku pada hari Sabtu, maka akan terhindar penyakit dari badannya atau jika memotong kuku pada hari Ahad, kemiskinan tidak akan menghampirinya dan pelbagai lagi persepsi yang diberikan sebagai anjuran untuk memotong kuku.
Malah, ada juga beberapa mesej yang sampai kepada kita mengenai larangan memotong kuku pada hari-hari dan waktu tertentu supaya kita memotong kuku hanya pada hari yang disebut seperti Jumaat.
Walhal, menurut perbahasan ulama’, tiada hadis yang sahih yang dinyatakan oleh Nabi SAW mengenai waktu dan hari yang terbaik untuk memotong kuku.
Hal ini bermaksud, anda boleh memotong pada bila-bila sahaja yang dirasakan sesuai asalkan ia tidak melebihi 40 hari. Jangan dibiarkan terlalu panjang kerana kuku mudah menjadi kotor bergantung kepada faktor persekitaran.
وُقِّتَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَصَّ الشَّارِبِ ، وَتَقْلِيمَ الأَظْفَارِ ، وَحَلْقَ الْعَانَةِ ، وَنَتْفَ الْإِبْطِ ، لاَ يُتْرَكُ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا
Maksud: “Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu kemaluan agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 520)
Kuku bertambah panjang sepanjang masa bergantung kepada faktor usia, jantina, suhu badan, diet dan keturunan. Kuku di tangan tumbuh dengan lebih cepat berbanding di kaki.
Ia perlu diberi penjagaan rapi kerana ia merupakan salah satu pelindung kepada jari dan juga dapat memberikan sensitiviti terhadap deria sentuh.
Memotong kuku dengan betul dan tidak membiarkannya terlalu panjang adalah salah satu cara penjagaan kuku.
Para ulama’ menyatakan bahawa memotong kuku adalah digalakkan dilakukan pada hari Jumaat berdasarkan beberapa dalil mengenai kebiasaan para sahabat.
Daripada Ibrahim, beliau menceritakan: “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Kitab Al-Musannaf, 2/65)
Ibnu Umar R.Anhuma juga biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Umat Islam menganjurkan penganutnya untuk membersihkan diri seperti memotong kuku, mencukur misai dan janggut serta berbagai lagi anjuran menjaga kebersihan.
Oleh itu, para sahabat dan sebahagian tabi’in akan memotong kuku mereka pada setiap hari Jumaat sebelum pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Tiada kesalahan jika ingin memotong kuku pada hari lain jika kuku sudah terlalu panjang atau kotor, namun usahakanlah untuk menjadikan hari Jumaat sebagai rutin memotong kuku.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.