Kewujudan jin adalah perkara yang dipercayai oleh banyak orang tidak kira dalam apa bangsa dan budaya sekalipun.
Banyak pula kisah yang diceritakan daripada mulut ke mulut dalam masyarakat kita tentang orang yang masuk ke dunia jin, yang berkahwin dengan jin dan sebagainya. Walaubagaimanapun, kisah-kisah seperti ini sangat jauh daripada apa yang disebutkan dalam hadis dan Al-Quran, dan sukar diterima kebenarannya.
Namun, satu kisah yang masyhur tentang golongan jin ada dinukilkan dalam Al-Quran. Ia tentang rombongan jin yang datang kepada Rasulullah SAW untuk mendengar bacaan Al-Quran.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!” (Surah Al-Jin 72:1)
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat” (Surah Al-Jin 72:6)
Maka dengan dalil-dalil ini, kita mempercayai bahawa jin memang wujud. Namun alam jin dan alam malaikat pula adalah alam yang berbeza kerana jin dicipta daripada api sedangkan malaikat dicipta daripada cahaya. Malaikat tidak makan dan tidak minum, sedangkan jin memerlukan makan dan minum. Dan Iblis juga adalah sebahagian daripada jin.
“…lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.” (Surah Al-Kahfi 18:50)
Sesungguhnya manusia tidak boleh melihat jin dalam bentuk asalnya, kecuali dalam bentuk manusia atau haiwan.
“Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah Al-‘Araf 7:27)
Hanya Nabi sahaja yang mampu melihat jin dalam bentuk asal. Hal ini ditegaskan oleh Imam Syafi’i rahimahullah,
“Orang-orang adil yang menyangka dirinya mampu melihat bentuk asal jin, maka persaksiannya kami batalkan, kecuali kalau dia Nabi… (Lihat Tobaqot Asy-Syafi’iyyah Al-Kubra – 2/130)
Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.anhu, beliau mengatakan, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّ بِالْمَدِينَةِ نَفَرًا مِنْ الْجِنِّ قَدْ أَسْلَمُوا فَمَنْ رَأَى شَيْئًا مِنْ هَذِهِ الْعَوَامِرِ فَلْيُؤْذِنْهُ ثَلاثًا فَإِنْ بَدَا لَهُ بَعْدُ فَلْيَقْتُلْهُ فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ
Sesungguhnya di Madinah ini ada sejumlah Jin yang telah memeluk Islam. Siapa yang melihat ular di rumah kalian, maka izinkan dia selama 3 hari. Bila lebih dari itu maka silakan dibunuh, kerana dia adalah syaitan. (HR. Muslim – Status hadis sahih)
Imam Nawawi menjelaskan bahawa jika ular tersebut tidak pergi walaupun setelah dihalau, maka ia bukanlah ular yang biasa masuk ke kediaman manusia, dan bukan pula jin Muslim, tetapi ia adalah syaitan.
Bukti bahawa jin boleh juga menjelma dalam bentuk manusia berdasarkan kisah yang dicatatkan oleh Ibnu Kathir dalam kitabnya tentang satu riwayat Ibnu Abbas. Ibnu Abbas menceritakan bahawa iblis pernah menjelma dalam bentuk Suroqoh bin Malik bin Ju’syum. Dia memprovokasi kaum musyrikin supaya menyerang kaum Muslim dalam Perang Badar.
Peristiwa tersebut terakam dalam Surah Al-Anfal, ayat 48.
“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata:
“Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. (Surah Al-Anfal 8:48)
Namun selepas kedua-dua pihak berperang antara satu sama lain, maka syaitan lari sambil berkata,
“Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya.” (Surah Al-Anfal 8:48)
Demikianlah perspektif Islam tentang hakikat kewujudan jin. Mereka adalah makhluk yang ada di sekeliling kita namun tidak dapat dilihat dalam bentuk asal. Ia termasuk dalam hal-hal ghaib yang wajib dipercayai oleh umat Islam sebagai tanda keimanan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.