Inspirasi

Pencabulan Seksual Kanak-Kanak – Pemangsa Mungkin Berada Di Sekitar Mereka

Oleh Natirah Azira  •  1 Oct 2019  •  3 min baca

Beberapa minggu lalu saya berkesempatan menghadiri satu bengkel perkongsian yang telah dianjurkan oleh pihak Monster Among Us (MAU) berkenaan isu pencabulan seksual kanak-kanak.

MAU adalah sebuah pertubuhan bebas yang aktif membawa mesej kepada masyarakat berkenaan hak kanak-kanak, risiko yang dihadapi oleh golongan ini contohnya bahaya ‘pemangsa kanak-kanak’ atau paedofil yang mungkin berada di sekeliling mereka.

MAU juga mempunyai misi untuk memperkasakan golongan muda untuk menyedari peranan mereka dalam membendung masalah yang semakin membimbangkan ini.

Tidak lama sebelum ini, Malaysia dihebohkan dengan berita salah seorang pesalah pedofilia yang kembali ke tanah air dan menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan. Berita tersebut mendapat respon negatif ramai orang kerana bimbang dengan ancaman dan bahaya yang mungkin menimpa kanak-kanak.

Hakikatnya kita perlu menyedari bahawa ‘pemangsa kanak-kanak’ boleh jadi sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita.

Dalam bengkel yang dianjurkan oleh MAU ini, beberapa perkara penting telah diterangkan. Antaranya tentang maksud ‘sexual grooming’, beza serangan seksual dan gangguan seksual serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi membendung masalah ini.

Apakah Itu Sexual Grooming

Antara perkara yang saya rasakan sangat menarik untuk difahami ialah isu sexual grooming . Ia adalah satu tindakan gangguan seksual kepada kanak-kanak oleh mana-mana individu yang dikenali ataupun tidak kenali, sama ada yang mempunyai hubungan akrab dengan ahli keluarga atau tidak.

Apa yang membezakan sexual grooming dengan serangan seksual adalah ia berlaku secara perlahan-lahan dengan cara yang sangat halus. Terlebih dahulu, pemangsa akan membina hubungan emosi dengan mangsa, untuk mendapatkan kepercayaan mereka untuk memanipulasi dan mengeksploitasi mereka pada masa hadapan.

Manakala, serangan seksual berlaku secara terang-terangan dan biasanya secara tiba-tiba. Penting untuk kita ketahui, bahawa sexual grooming ini bukan hanya dilakukan terhadap kanak-kanak malah orang dewasa, sehingga mangsa berasa bahawa segala tindakan berkaitan dengan gangguan seksual adalah perkara biasa.

Selalunya, apabila proses ini berlaku, mangsa akan berasa keliru dan bingung sama ada ia adalah tindakan yang wajar atau tidak dilakukan ke atas mereka. Hal ini akan menghalang mereka daripada memaklumkan apa yang berlaku kepada penjaga sehingga keadaan sudah menjadi semakin serius.

Ia boleh berlaku melalui medium yang pelbagai termasuklah gangguan siber seksual terhadap kanak-kanak, secara terus melibatkan hubungan kekeluargaan, kenalan dan sebagainya.

Bagaimana Sexual Grooming Boleh Berlaku

1. Pemangsa boleh meyakinkan mangsa bahawa mereka saling menyukai dan berada dalam hubungan tersebut sebagai pasangan teman wanita atau teman lelaki.

2. Pemangsa boleh bertindak sebagai mentor kepada kanak-kanak, dan membuatkan mereka berfikir bahawa pemangsa adalah orang baik yang boleh membantu dan menolong mereka.

3. Pemangsa juga boleh menjadi orang yang penting dalam kehidupan kanak-kanak tersebut contohnya saudara yang rapat dengan ibu bapa atau penjaga mereka. Hal ini memudahkan lagi pemangsa untuk mendekati mangsa.

4. Pemangsa boleh menjadi orang asing yang cuba mendekati keluarga mangsa, serta berusaha membuatkan mereka berfikir bahawa pemangsa adalah orang yang boleh dipercayai dan boleh menjaga mangsa.

5. Pemangsa boleh menggunakan agama untuk memancing mangsa supaya percaya. Mereka akan cuba meyakinkan mangsa bahawa tindakan-tindakan yang berunsur sentuhan adalah sesuatu yang tidak dilarang oleh agama.

Kesimpulan

Kita memerlukan lebih banyak lagi sokongan daripada pelbagai pihak demi memastikan badan-badan seperti Monster Among Us (MAU) mampu terus bergerak memberi penerangan dan informasi kepada masyarakat.

Maklumat ini sangat penting untuk diketahui oleh semua orang dan tidak boleh dipandang ringan. Seringkali kita menganggap bahawa tindakan seseorang untuk mendekati kanak-kanak adalah hal biasa dan atas faktor kasih sayang semata-mata.

Informasi ini bukan bertujuan untuk membina rasa tidak percaya kepada orang di sekeliling, tetapi untuk memupuk sikap hati-hati dalam diri setiap orang demi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa kepada isu gangguan seksual. Mereka berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan sihat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami