Islam merupakan agama yang syumul. Ia mengajar manusia bukan hanya beribadah kepada Allah, namun juga berbuat baik kepada seluruh alam, sama ada sesama manusia, menghormati alam ghaib dan juga kepada haiwan serta makhluk lain.
Itulah hebatnya Islam. Ia bukan agama yang mementingkan diri sendiri dan beribadah hanya untuk merebut pahala sendiri, namun juga menitikberatkan hubungan silaturahim sesama insan.
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّـهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
Mafhum: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaann hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas, 28:77)
Dalam Islam, wujud istilah hablum minallah wa hablum minannas yang membawa maksud jaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.
Apakah maksud sebenar di sebalik perkataan ini? Ia menyuruh kita untuk berbuat baik kepada Allah dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan hubungan dan perbuatan baik kepada manusia.
Ada segelintir manusia yang menjaga solatnya, Al-Quran tidak pernah ditinggalkan, namun hubungannya terhadap ibu bapa diabaikan.
Ada pula yang berbuat baik kepada manusia, selalu memberi makanan kepada jiran tetangga dan tidak lupa untuk meraikan ulang tahun kelahiran kawan-kawannya, namun hubungan sesama Allah pula diabaikannya dengan solat di akhir waktu, jarang-jarang sekali membelek al-Quran dan sebagainya.
Ini merupakan salah satu contoh perbuatan dan gaya hidup yang tidak seimbang. Hidup manusia seperti alat penimbang.
Di sebelah kanannya adalah hubungannya dengan Allah dan di sebelah kiri pula ialah hubungan dengan manusia.
Jika hanya sebelah sahaja yang diutamakan, pasti satu akan berada di atas dan satu lagi di bawah, ibarat kehidupan yang tidak seimbang.
Mengapa Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa berbuat kebaikan? Adakah tidak cukup sekadar bersolat, mengaji, berpuasa, bangun tahajjud pada waktu malam tanpa menghiraukan jiran tetangga yang sakit atau kawan yang dilanda masalah dan sebagainya?
Kerana, kehidupan kita ini saling berkait. Jika kebaikan yang kita lakukan, maka yang akan datang juga dalam bentuk kebaikan yang sama atau mungkin lebih lagi dari itu dan begitu juga sebaliknya.
Malah, kita tidak tahu amalan manakah yang mampu memandu kita ke syurgaNya. Mungkin kita merasa dengan melaksanakan solat Tahajjud pada setiap malam akan mengheret kita ke syurga, namun sebenarnya dengan memberi kucing di hadapan rumah kita sentiasa kenyang itu yang mampu menarik kita ke syurgaNya.
Kerana rahmat Allah itu Maha Luas dan bergantung kepadaNya untuk memasukkan kita ke syurga dengan rahmat yang mana.
هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ
Mafhum: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?” (Surah Ar-Rahman, 55:60)
Contohnya, jika anda pergi solat Jumaat, memanjangkan wirid selepas solat – akan tetapi kereta yang anda parkir menghalang kereta lain sehingga menyukarkannya untuk menyambung semula urusan kerja atau menyebabkan urusannya tertangguh, maka itu adalah perbuatan yang tidak bermoral.
Anda telah dikira telah merosakkan hubungan sesama muslim, bukan sahaja hubungan anda dengannya, namun boleh menyebakan urusan hidupnya juga terganggu.
Dalam hal ini, adalah lebih baik anda mengalihkan kereta sebaik sahaja selepas solat Jumaat tersebut. Pahala yang anda dapat mungkin adalah lebih lagi berbanding jika anda telah menyakitkan hatinya ketika anda sedang berwirid.
Mungkin kita pernah membaca kisah-kisah mengenai mereka yang rajin bersolat, tetapi sering melakukan maksiat lain. Sebagai contoh, bercakap kasar dengan isterinya atau bersikap kejam terhadap kucing dan sebagainya.
Mengapa perkara ini berlaku juga sedangkan orang yang bersolat itu dikatakan ‘kebal’ dengan maksiat?
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّـهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Mafhum: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ankabut, 29:45)
Dalam hal ini, perlu diperiksa semula, adakah sempurna solatnya kerana kesempurnaan solat seseorang itu mampu mencegahnya daripada melakukan maksiat.
Sempurna bukan hanya dalam solat, tetapi sebelum dan juga selepas solat. Adakah wuduknya sempurna, atau bacaan dalam solatnya baik dan tiada kesalahan.
Walau sekecil-kecil perkara, ia perlu diberi perhatian kerana perkara itulah yang mampu meletakkan Allah di hati seseorang bukan sahaja semasa solat, namun di sepanjang kehidupannya.
Hidup ini bukan hanya diri kita dan tuhan, namun termasuk kehidupan di sekeliling. Oleh itu, cubalah jaga hubungan sesama manusia. Mungkin ia akan menjadi salah satu kunci yang mampu membuka jalan ke pintu syurga.
Wallahu a’lam.
Baca juga:
Belajar Dua Erti Hidup Dengan Melihat Sekeliling
https://www.youtube.com/watch?v=m49qoAyTUzc
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.