Gaya Hidup

Ubah Gaya Hidup Anda Untuk Mendapatkan Tidur Yang Berkualiti

Oleh Fizah Lee  •  12 Sep 2019  •  4 min baca

Tidur merupakan nutrisi kepada otak.

Ini merupakan kata-kata yang diutarakan oleh pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia. Mereka berpendapat bahawa tidur merupakan suatu gaya hidup yang sangat penting untuk mendapatkan kembali tenaga yang sudah digunakan sepanjang hari.

Jika robot juga boleh mati dan kehabisan bateri andai digunakan sepenuhnya tanpa henti. Ia memerlukan masa untuk mengecas kembali baterinya, begitu juga manusia.

Jika kita tidak mendapatkan tidur yang cukup selama empat hari berturut-turut, besar kemungkinan otak dan organ di dalam badan kita tidak mampu untuk berfungsi dengan baik. Seperti mana kita akan mamai dan mudah merasa mengantuk pada siang hari, begitu juga dengan organ dalaman kita yang tidak akan mampu menghantar isyarat dengan betul.

Malah, beberapa kajian mendapati bahawa tidur membantu proses membersihkan otak daripada protein beta-amyloid, iaitu protein yang berkait rapat dengan penyakit Alzheimer yang akan terbina semasa kita terjaga.

Hal ini bermaksud, jika kita terjaga sepanjang hari, kemungkinan untuk diserang penyakit Alzheimer adalah tinggi berbanding dengan mereka yang menjaga kualiti tidurnya.

Malah, terdapat beberapa kajian lain yang mengatakan bahawa kurang tidur boleh mengakibatkan pelbagai penyakit kronik yang lain seperti mudah diserang penyakit barah, serangan jantung, boleh menganggu ingatan jangka pendek dan sistem imun dalam badan juga kurang kebal.

Oleh itu, jika anda seorang yang tidak menitikberatkan perihal tidur atau memandang ia sebagai sesuatu yang ringan, mula ubah pemikiran tersebut dan gaya hidup anda mulai saat anda membaca entri ini.

Jadi, bagaimana cara yang betul untuk mendapatkan tidur yang berkualiti agar hari-hari anda boleh dilalui tanpa risau akan serangan-serangan penyakit ini atau mudah merasa mamai sehingga menganggu produktivit kerja anda?

Berikut merupakan beberapa tips yang dikongsikan oleh pakar motivasi dan juga pakar-pakar kesihatan mengenai tips untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.

#1 – Melakukan Senaman

Terdapat sebuah kajian daripada Journal of Clinical Sleep Medicine terhadap mereka yang megalami insomnia (sukar tidur), iaitu ia dapat diubati dengan melakukan senaman sama ada pada waktu pagi atau petang sebanyak empat sehingga lima kali dalam seminggu selama minima 15 minit untuk setiap kali senaman.

Hal ini kerana, senaman mampu membuatkan badan kita mudah merasa penat pada waktu malam dan akan menjadikan seseorang itu mudah tidur dengan lena tanpa terjaga di tengah malam.

Malah, selain daripada mampu membantu seseorang itu tidur dengan lena, ia juga boleh membantu organ-organ dalaman berfungsi dengan baik tanpa mempunyai risiko diserang penyakit kronik.

Walau bagaimanapun, tambah kajian ini lagi, senaman tidak boleh dilakukan dua jam sebelum tidur kerana tubuh dan otak kita masih lagi dalam waktu aktif selepas senaman tersebut terutamanya jantung walaupun badan kita merasa penat.

Senaman tersebut juga perlu dilakukan sentiasa dan bukannya secara berkala bagi mengekalkan fungsi badan dengan baik.

#2 – Elak Makan Tiga Jam Sebelum Tidur

Menurut sebuah kajian daripada University of Pennsylvania’s Perelman School of Medicine mengatakan bahawa, makan sebelum tidur bukan sahaja boleh menambah berat badan, namun akan meningkatkan kadar glukosa dan insulin dalam badan yang boleh mengakibatkan kekurangan tenaga.

Jika anda lapar di tengah malam, cuba gantikan pemakanan anda pada waktu itu dengan memakan oat atau buah seperti kurma dan epal.

Ini kerana, makanan-makanan seperti ini mempunyai kadar nutrisi yang seimbang seperti kurang gula dan mampu dihadam dengan baik.

Cuba juga untuk amalkan dengan minum susu sebelum tidur. Kajian menunjukkan khasiat meminum susu panas sebelum tidur dapat melonggarkan otot-otot tegang dan menegangkan saraf yang akan membuatkan diri dan otak anda bersedia untuk tidur.

#3 – Elakkan Kafein Pada Waktu Petang

Kafein boleh berada dalam badan kita antara lima ke enam jam sebagai rangsangan terhadap otak. Oleh itu, elakkan pengambilan kafein pada waktu petang, sekurang-kurangnya selepas pukul 2.

Jangan memandang ringan kesan kafein terhadap rangsangan otak saraf manusia walaupun setiap orang pasti mempunyai tahap rangsangan yang berbeza.

Pengambilan kafein secara berlebihan juga tidak elok terutamanya jika ia dijadikan sebagai rutin pada waktu malam.

Kesimpulan

Tidur yang lena atau tidak mendapat tidur yang cukup mampu memberi kesan yang besar kepada diri seseorang sama ada dari dalam mahupun luaran.

Cuba jadikan tiga tips penting di atas sebagai ritual untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Ini kerana, diri kita sendiri yang bertanggungjawab terhadap gaya hidup yang kita corakkan.

Tidak dilupa juga sunnah Baginda sebelum tidur agar tidur kita bukan sahaja berkualiti malah diangkat sebagai ibadah di sisiNya.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Kajian Neuroscience – Mengenai Tidur
Effect of Sleep Loss
Sleep Medicine Reviews
An Overview of Insomnia


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami