Gaya Hidup

Kawal Fikiran Negatif Anda Dengan Teknik Mudah Ini

Oleh Natirah Azira  •  18 Aug 2019  •  3 min baca

Berdasarkan kajian daripada National Science Foundation, manusia biasa mempunyai 12,000 hingga 60,000 perkara yang difikirkan dalam sehari. 85 peratus daripadanya adalah fikiran yang negatif dan 95 peratus adalah fikiran yang berulang-ulang.

Apabila sesuatu yang buruk berlaku, sesetengah orang cenderung untuk berfikir ke arah yang lebih buruk. Fikirannya akan ‘membesarkan’ lagi masalah yang ada. Jika masalah yang asal adalah sebesar batu bata, fikiran yang negatif akan menjadikan masalahnya sebesar bangunan. Jika pada asalnya hanya sebanyak segelas air, fikiran yang negatif akan menampakkan masalah itu seluas lautan.

Di dalam ilmu Cognitive Behavioral Therapy (CBT), proses fikiran negatif ini dipanggil Automatic Negative Thought (ANT). Ia satu proses berfikir secara negatif yang berlaku secara serta merta dalam fikiran kita, kadang-kadang tanpa disedari.

Fikiran negatif tidak kesemuanya buruk. Jika ia hanya sekadar lintasan yang sesekali datang, ia akan menjadikan kita lebih ‘alert’ atau bersedia menghadapi masalah. Namun jika terlalu banyak hingga mencetuskan drama-drama yang ngeri (hanya dalam fikiran), seterusnya boleh mengganggu tumpuan dalam urusan seharian, maka sesuatu perlu dilakukan.

Teknik yang akan diterangkan InsyaAllah berguna bagi mengawal fikiran negatif yang ada.

Mari Pecahkan ‘Fikiran Negatif’ Yang Ada

Langkah #1- Keluarkan Kertas Dan Pen

Langkah #2- Senaraikan Perkara Negatif Yang Anda Fikirkan

Untuk langkah kedua ini, anda boleh buat dua bahagian kolum. Pada kolum yang pertama, senaraikan kesemua perkara negatif yang anda fikirkan. Contohnya:

– Perkara yang membuatkan anda tidak konfiden
– Pekara yang membuatkan anda takut
– Perkara yang membuatkan anda stres sejak akhir-akhir ini
– Perkara yang anda tidak suka berkait dengan orang lain

Pada kolum yang kedua, tuliskan pula perkara positif yang anda dapat di sebalik perkara negatif tersebut. Contohnya:

– Jika anda tidak konfiden – tuliskan satu perkara positif yang sudah berlaku sebelum ini apabila anda tidak konfiden, contohnya anda akan melakukan persediaan lebih awal untuk menghadapi perkara tersebut.

– Jika perkara negatif itu berkait dengan orang lain – tuliskan satu perkara positif tentang orang itu.

– Jika perkara negatif adalah tentang kerja – tuliskan satu perkara positif yang anda dapat melalui pekerjaan tersebut contohnya ia dapat memudahkan urusan ramai orang lain.

Objektif bagi aktiviti ini adalah untuk menyeimbangkan fikiran-fikiran negatif yang ada, supaya fikiran anda tidak hanya fokus kepada sudut negatif sahaja.

Bukan mudah untuk menukar perspektif lebih-lebih jika anda sedang berada dalam kemelut masalah tersebut. Namun apa kata cuba dahulu teknik baru ini bagi mengasingkan sekejap fikiran kita daripada masalah yang ada. Langkah ini dapat membantu anda menjadi lebih objektif dalam berfikir. Selain itu, ia juga dapat menjadikan fikiran anda lebih tersusun.

Di akhirnya mari kita teliti kata-kata daripada Lao Tzu;

“Watch your thoughts; they become words. Watch your words; they become actions. Watch your actions; they become habit. Watch your habits; they become character. Watch your character; it becomes your destiny.” — Lao Tzu

“Hati-hati dengan fikiran kamu: ia akan menjadi ucapan. Hati-hati dengan ucapan, ia akan menjadi perbuatan. Hati-hati dengan perbuatan, ia akan menjadi tabiat. Hati-hati dengan tabiat, ia akan menjadi peribadi. Hati-hati dengan peribadi, ia akan menjadi tujuan hidupmu” Lao Tzu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami