Gaya Hidup

Ketahui 3 Manfaat Mempunyai Sahabat

Oleh Fizah Lee  •  15 Aug 2019  •  5 min baca

Sahabat merupakan manusia yang paling penting dalam hidup selepas keluarga dan saudara-mara. Malah, ada di kalangan kita yang lebih rapat dengan sahabat berbanding dengan saudara-mara sendiri.

Jika anda berjaya menemukan sahabat sebagai insan dan peneman yang mampu membawa anda ke arah kebaikan, maka jagalah ia. Hal ini kerana, mereka bukan sahaja hadir sebagai pelengkap di dunia ini, namun juga sebagai insan yang akan sama-sama memimpin tangan kita di akhirat kelak.

Para ulama’ juga selalu berpesan, kita tidak boleh memilih kawan, tetapi berhati-hati dalam berkawan kerana kawan itu ibarat si penjual minyak wangi dan juga tukang besi.

Jika kita berkawan dengan mereka yang menjual minyak wangi, paling kurang pun baunya akan terpalit kepada kita walau sedikit, walaupun kita tidak membelinya. Begitu juga dengan si tukang pembuat besi. Percikan api dan bau asapnya pasti akan ada pada bauan diri kita jika selalu berada bersamanya.

Jika kita tidak mampu untuk menjadi seperti si penjual minyak wangi, janganlah pula kita menjadi sahabat yang diibaratkan seperti tukang besi.

Dari Salim RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya (teraniaya). Siapa yang membantu (mencukupkan) keperluan saudaranya, maka Allah membantunya (mencukupkan) keperluannya. Siapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim, maka Allah melapangkan pula kesulitannya di hari kiamat kelak. Dan siapa yang menutup kesalahan (rahsia) orang muslim, maka Allah menutupi kesalahannya di hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2210)

Teman Itu Peneman

Seseorang teman itu fungsinya adalah sebagai pelindung, penasihat dan boleh membantu kawannya di saat mereka memerlukan pertolongan. Mereka akan memberi bantuan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi jika kita berkawan atas dasar kerana Allah. Seperti mana firman Allah yang berbunyi:

اللَّـهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Mafhumnya: “Allah pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, 2:257)

Dalam perkataan Arab, peneman itu bermaksud wali. Pernahkah anda mendengar perkataan wali Allah? Ia adalah dimaksudkan sebagai peneman Allah. Mereka ialah orang-orang yang selalu berdamping dengan Allah, sentiasa beribadat kepada Allah dan tidak pernah meninggalkan Allah.

Begitu juga dengan teman yang baik yang seharusnya perlu berdamping dan menasihati kawannya ke arah kebaikan. Kawan yang baik ialah mereka yang perlu memimpin kawannya ke syurga.

Manfaat Mempunyai Sahabat

Tahukah anda, jika anda mempunyai sahabat, maka anda merupakan seorang yang sangat beruntung. Banyak manfaatnya mempunyai sahabat. Antara tiga manfaat yang telah ditekankan oleh para ulama’ ialah:

#1 – Mendapat Pengaruh dari Ilmu yang Dimiliki

Abu Hurairah Ra meriwayatkan dari sabda Rasulullah SAW yang telah bersabda mengenai sahabat, yang membawa maksud:

“Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Setiap sahabat yang baik itu pasti mempunyai ilmu dan amal yang baik. Berkawanlah dengan mereka untuk mendapatkan walau sedikit tempias daripada perbuatan mereka. Anda akan mengikut perbuatan baik mereka secara automatik kerana terkesan dengan rutin harian mereka.

Sebagai contoh, jika anda berkawan dengan orang yang gemar untuk ke masjid, pada mulanya memang agak janggal jika kawan anda sering mengajak anda ke masjid, namun lama-kelamaan, secara automatik, anda akan terikut-ikut dengan perbuatannya. Hal ini kerana, rutinnya itu sudah boleh mempengaruhi anda.

#2 – Mendapatkan Doa Baiknya

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Mafhum: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka): Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka, hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah, 2:186)

Orang yang beramal soleh dan beriman kepada Allah akan sentiasa mengangkat tangan dan berdoa kerana mereka sedar dan yakin bahawa Allah sangat menyukai golongan yang berdoa. Oleh itu, mereka selalu mendoakan kesejahteraan dirinya dan orang sekelilingnya.

Tahukah anda, doa orang yang soleh yang berdoa dalam keadaan sembunyi dan bukan secara terang-terangan, maka itulah antara doa yang ikhlas yang insya Allah akan dimakbulkan. Hal ini kerana, mereka tidak riya’ dalam berdoa.

Justeru, jika anda berkawan dengan orang-orang yang soleh, maka beruntunglah jika nama anda disebut dalam doanya tatkala dia menadah tangan kepadaNya.

#3 – Dikumpulkan Dengan Orang Yang Soleh Di Akhirat

Dari Anas bin Malik RA, beliau mengatakan,

“Ketika saya dan Nabi SAW keluar dari masjid, kami ditemui oleh seorang lelaki di sisi masjid lalu orang itu bertanya, “Wahai Rasulullah, bilakah hari kiamat itu?” Rasulullah saw menjawab, “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menyambut kedatangannya?” Orang itu terdiam lalu menjawab, “Untuk menyambutnya, aku tidak menyiapkan solat yang besar, tidak juga puasa yang besar apatah lagi sedekah yang besar, akan tetapi saya mencintai Allah dan RasulNya.” Rasulullah SAW bersabda, “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas digambarkan bahawa kita semua akan dihidupkan semula di hari akhirat bersama dengan orang yang kita cintai dan sanjungi ketika hidup di muka bumi.

Kita layak memilih dengan siapa kita ingin dibangkitkan berdasarkan gaya hidup kita di muka bumi pada hari ini.

Oleh itu, carilah sahabat yang baik, yang sentiasa mengingatkan kita kepada dosa dan hari akhirat, yang sentiasa menasihati kita saat tersasar, yang sentiasa memegang tangan kita saat hampir jatuh ke lembah hina, yang sentiasa menadah tangan kepada Allah untuk kita.

Jika kita tidak mampu mencari satu, maka berusahalah untuk menjadi satu.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami