Gaya Hidup

Dua Perkara Yang Ditinggalkan Sebagai Kompas Kehidupan

Oleh Fizah Lee  •  8 Aug 2019  •  4 min baca

Saya teringat akan sebuah filem yang pernah hangat dipertontonkan suatu ketika dahulu. Kisah yang menyampaikan mesej mengenai kekeluargaan dan hubungan antara seorang bapa dan anak.

Pada akhirnya, rata-rata akan menitiskan air mata kerana tidak sangka dengan jalan cerita yang membawa kepada pengakhiran yang cukup memandu emosi kita ke sebuah jurang yang sangat dalam.

Itulah filem Train to Busan yang telah ditayangkan di pawagam pada Julai 2016. Filem tersebut masih menjadi sebutan sehingga kini jika ingin membicarakan pengorbanan dan kasih-sayang kaum bapa kepada anak-anaknya.

Namun, untuk entri kali ini, bukan itu mesej dan tema yang ingin saya sampaikan, namun mengenai sebuah mesej yang terlihat pada awal cerita ini yang mungkin kita semua terlepas pandang atau mungkin kita akan memandangnya secara ringan dan tidak meletakkan ia sebagai sebuah pengajaran dan nilai yang boleh diambil.

Pada awal cerita, pengarah telah meletakkan babak seorang pemandu yang telah memasuki kawasan larangan. Pada awalnya, pemandu tersebut tidak mengambil endah akan larangan tersebut disebabkan beliau sedang mengejar masa dan ingin sampai ke destinasi dengan cepat, larangan tersebut telah diabaikan.

Sejurus selepas itu, pemandu tersebut telah melanggar seekor rusa yang membawa kepada tercetusnya virus zombi dan wabaknya tersebar sehingga ke seluruh pelusuk Korea.

Pada awalnya, saya berfikir – “Kenapalah pemandu tersebut tidak mengikut arahan pada papan tanda tersebut. Kalau pada awalnya dia ikut, pasti wabak tersebut tidak akan merebak, hidup mereka akan aman damai dan sebagainya.”

Ia akhirnya mengundang kepada jalan cerita yang cukup dahsyat dengan beribu-ribu manusia dan makhluk yang telah diserang dengan virus zombi dan juga kemusnahan yang berlaku sehingga akhirnya watak utama dalam filem ini telah meninggal dunia.

Pengakhiran jalan cerita yang ditunjukkan cukup tragis sehigga membawa kepada emosi yang telah menitiskan air mata ramai penonton.

Al-Quran Dan As-Sunnah Sebagai Kompas Hidup

Mengapa saya bawakan babak yang pertama sebagai mesej untuk entri kali ini? Apa hubungannya dengan tajuk yang akan saya bawakan ini?

Jika anda lihat dari awal penulisan, babak yang dibawakan adalah berkait dengan babak akhir cerita ini, iaitu kisah si pemandu yang yang melanggar papan tanda dengan memasuki kawasan larangan.

Cuba anda bayangkan hidup anda tanpa kompas dan panduan, pasti akhirnya akan mengundang kepada pelbagai masalah dan kucar-kacir.

Atau mungkin, jika anda sudah diberi panduan untuk mengikut jalan yang diberikan, namun anda melanggarnya, pasti anda akan sesat dan tidak akan sampai ke destinasi yang dituju yang dituju dalam waktu yang ditetapkan atau dalam keadaan selamat.

Begitulah kehidupan kita tanpa panduan hidup yang betul. Islam didatangkan lengkap dengan panduan dan kompas yang terbaik untuk sekalian alam dan tiada tarikh luput, sesuai sehingga sepanjang zaman.

Al-Quran dan as-Sunnah yang dibekalkan buat umatnya merupakan sebuah kompas dan peta yang tidak pernah salah. Jika anda mempunyai masalah dalam kehidupan berkenaan jodoh, bukan sahaja surah Yusuf atau an-Nisa’. Terdapat pelbagai penceritaan berkenaan bagaimana kisah Nabi Yusuf dan jodohnya serta beberapa tips untuk mencari bakal pasangan yang sesuai untuk anda dan agama.

Jika anda mempunyai permasalahan mengenai kewangan, lihat sahaja tafsir surah al-Baqarah. Di situ Allah telah meletakkan pelbagai garis panduan berkenaan rezeki, hutang dan juga riba.

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai hari kiamat dan penceritaannya, buka sahaja kisah yang terakam dalam surah Al-Waqiah. Pasti anda dapat membayangkan mengenai dasyatnya hari kiamat.

Jika anda ingin melihat sirah dan kisah umat terdahulu sebagai panduan, boleh dibaca surah Al-A’raf untuk diambil iktibar mengenai kaum Nabi Luth yang ditenggelamkan bumi atau surah As-Saffat untuk melihat bagaimana kaum Nabi Nuh yang ditimpa bah besar.

Jika anda berminat untuk mengetahui bagaimana makhluk di bumi ini berfungsi seperti alam cakerawala dan bintang, boleh buka surah An-Najm untuk mengkajinya dengan lebih lanjut.

Malah, berdasarkan Al-Quran ini, hadis dan sunnah Rasulullah juga banyak menceritakan mengenai perihal seperti bagaimana cara yang betul untuk menunaikan solat, laungan azan dan sebaginya.

Dua kompas ini saling melengkapi. Bagaimana hidup anda tanpa ia, pasti tiada panduan yang jelas dan sukar untuk sampai ke ‘destinasi’, bukan?

Bagimana jika anda melanggar aturan dan mengingkari perkara yang ditetapkan, pasti kehidupan yang dipandu anda akan kucar-kacir.

Oleh itu, untuk sampai ke ‘destinasi’ anda dengan selamat dan berjumpa denganNya dalam keadaan yang terbaik, ikutlah panduan yang telah ditinggalkan sebagai peta agar anda tidak tersesat atau jatuh ke jurang yang amat menyakitkan diri anda sendiri.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami