Gaya Hidup

Kenali Watak-Watak Dalam Kegiatan Buli

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  3 Aug 2019  •  4 min baca

Sebagai orang dewasa yang mempunyai autoriti tidak seharusnya anda membiarkan buli berlaku di institusi-institusi pendidikan seperti sekolah-sekolah dan juga institusi pengajian tinggi kerana buli di mana-mana jua adalah sama.

Apatah lagi sekiranya ia melibatkan mereka yang berada di bawah jagaan dan tanggungjawab kita yang memerlukan perlindungan kita.

Jika orang dewasa dibuli kita mengambilnya secara serius, kenapa pula apabila kanak-kanak sekolah atau mereka di institusi pengajian dibuli kita menggelarkan mereka sebagai lembik dan tidak tahan dugaan?

Cuma mungkin istilah yang digunakan untuk menggambarkan buli di tempat kerja adalah berbeza dari istilah yang digunakan untuk menggambarkan buli di institusi pendidikan.

Apabila berlakunya kes buli, fokus kita selama ini lebih tertumpu kepada individu yang membuli. Kita mula bercakap-cakap tentang ibu bapanya, keluarganya, bagaimana dia dibesarkan, taraf sosio ekonominya, kawasan tempat tinggalnya, sikapnya, rakan-rakan baiknya, tahap akademiknya, aktiviti hariannya, dan sebagainya.

Tahukah anda buli adalah kegiatan berkumpulan? Buli bukan hanya melibatkan pembuli dan mangsa sahaja. Siapakah pemegang-pemegang watak dalam kegiatan buli ini?

#1- Pembuli/Pelaku

#2- Pembantu (Henchmen)

Mereka ini tidak memulakan kegiatan buli tetapi mereka menggalakkan pembuli dan juga turut sama membuli sebaik sahaja ia dimulakan.

#3- Penggalak (Reinforcer)

Mereka tidak terlibat membuli tetapi mereka menggalakkan lagi keganasan yang dilakukan. Mereka menyorak, memberi sokongan, ketawa dan juga menambahkan penonton ketika kegiatan buli berlaku. Mereka menyebabkan pembuli semakin menjadi-jadi dengan keganasannya.

#4- Pemerhati (Bystander)

Mereka menonton secara pasif tanpa berbuat atau berkata apa-apa. Mereka tidak menghentikan buli dan tidak juga memberi sokongan pada buli.

Mereka ingin membantu tetapi terlalu takut terutamanya apabila memikirkan akan kesannya terhadap diri mereka kiranya bertindak.

#5- Pencegah (Interference)

Mereka adalah sebahagian daripada pemerhati tetapi mereka melangkah setapak lagi cuba menghentikan keganasan yang dilakukan.

Mereka mencegah sendiri secara langsung serta merta ataupun mendapatkan bantuan pihak berautoriti untuk menyelamatkan mangsa yang dibuli. 
Mereka inilah hero.

Jika kita ingin mencegah kegiatan buli dari terus berleluasa adalah sangat perlu untuk kita perkenalkan kepada anak-anak dan para pelajar watak-watak yang disebutkan di atas.

Mereka perlu faham peranan yang telah mereka mainkan dalam menggalakkan kegiatan buli dan juga peranan bagaimana yang perlu dimainkan untuk mencegah kegiatan buli ini.

Selalunya individu yang membuli akan diangkat statusnya ke tahap yang tertinggi di kalangan watak antagonis dalam kumpulan yang membuli tersebut. Individu yang diangkat sebagai hero antagonis ini perlukan pemerhati untuk mempamirkan kehebatannya.

Mereka yang memerhati, tahu dan tidak melakukan apa-apa (watak bystanders) secara tidak langsung memberi isyarat kepada pembuli bahawa mereka redha dengan keganasan yang dilakukannya.

Dalam sebuah kajian yang diketuai oleh seorang Profesor dalam bidang Psikologi UCLA dan diterbitkan dalam Journal of Consulting and Clinical Psychology didapati program yang paling berkesan untuk menghentikan kegiatan buli di sekolah-sekolah adalah program yang dikenali sebagai Kiva yang bermaksud ‘nice’ dalam Bahasa Finnish.

Program ini sudah tentunya dijalankan di negara Finland. Program ini lain dari yang lain kerana ia memberi penekanan kepada peranan yang boleh dimainkan oleh watak pemerhati (bystanders).

Objektifnya adalah untuk mewujudkan empati di kalangan watak pemerhati (bystanders) terhadap mangsa buli dan menunjukkan cara bagaimana pemerhati boleh bertindak dan tampil ke hadapan untuk menjadi watak pencegah (interference) untuk menghentikan kegiatan buli. Menarik bukan?

Program seumpama ini juga ternyata diperlukan di negara kita yang saban hari, setiap minggu ada sahaja laporan-laporan tentang kegiatan buli sehingga menyebabkan kecederaan, kecacatan dan juga kematian kepada mangsa.

Ingatkan anak-anak kita dan diri kita juga, daripada kita hanya bercakap-cakap, fikirkanlah apa watak kita selama ini dan apa peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak apabila memegang watak pemerhati atau bystanders ini.

It takes the whole village to raise a child.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Semoga Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham di kalangan orang-orang yang beriman.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami